BTS Media

Muhyiddin mahu kerajaan bantu PKS, minta bank beri moratorium sekali lagi

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) minta bank mempertimbangkan moratorium sekali lagi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya bagi membantu mereka yang masih terjejas oleh Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, MPN telah tiga kali membincangkan tentang PKS, dan mendapati sektor tersebut perlu dibantu dari segi kewangan akibat kemerosotan perniagaan.

Beliau berkata kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kali ketiga bagi tahun ini bukan sahaja memberi kesan kepada momentum pemulihan ekonomi negara malah menjejaskan prestasi PKS, iaitu sektor yang menyumbang 90 peratus kepada aktiviti ekonomi negara.

“Dalam mesyuarat (MPN) lepas mereka (PKS) minta supaya institusi perbankan meneliti balik (sama ada) boleh untuk diadakan satu lagi moratorium khas. (Saya rasa) walaupun moratorium, mereka (bank) tidak akan rugi banyak. Bagi sedikit masa, mereka (PKS) nak pulih tapi tak boleh pulih lagi (sekarang),” katanya kepada media selepas program Jualan Prihatin Rakyat di Bukit Pasir, Johor pada Sabtu.

Beliau mengulas kegusaran orang ramai terhadap kesan kenaikan OPR sebanyak tiga kali tahun ini dan sama ada kenaikan itu akan menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara pasca Covid-19.

Presiden Bersatu yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau berharap kerajaan dapat melihat kesannya ke atas PKS.

“Kalau mereka (PKS) tidak cergas dalam menghasilkan pengeluaran yang boleh dipasarkan, yang boleh kompetitif, bermakna pemulihan itu akan terjejas.

“(Pemulihan) makin lambat dengan bebanan kos dengan kenaikan kadar inflasi dan sebagainya, ini akan jadi satu masalah yang besar,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut berharap agar kerajaan dapat melihat kesan kenaikan OPR itu, dan berusaha membantu mengurangkan beban rakyat pada pembentangan Bajet 2023 akan datang.

Pada Khamis lepas, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus, yang merupakan kenaikan kali ketiga tahun ini selepas Mei dan Julai.

Leave a Comment