GAMBAR ATAS: Malay Mail.
Oleh Yusoff A. Shariff
BEKAS perdana menteri Najib Razak dilaporkan tidak diberi layanan istimewa semasa menjalani hukuman penjara, dan dilayan sama seperti banduan lain di bawah Peraturan 8 Akta Penjara 2000.
Beliau yang setakat ini masih Ahli Parlimen Pekan ditempatkan di dalam sel yang dilengkapi kelengkapan seperti sel khas lain untuk banduan keselamatan tinggi, kata sumber kepada Utusan Malaysia dalam laporan yang diterbitkan hari ini.
Sumber tersebut berkata beliau ditempatkan di dalam sel pengasingan untuk memastikan keselamatan di penjara dan untuk keselamatan dirinya sendiri mengikut Peraturan 8 undang-undang berkaitan.
“Sebagai bekas pemimpin terkemuka negara, langkah keselamatan sudah pasti akan diperketat bagi memastikan dia kekal selamat semasa berada dalam jagaan Jabatan Penjara,” kata sumber itu lagi.
Sumber itu juga dilaporkan berkata Najib tidak digari ketika dibawa menghadiri perbicaraan kesnya yang lain. Ini kerana dia tidak melakukan sebarang jenayah kekerasan kerana gari hanya digunakan mengikut budi bicara penjara, berdasarkan alasan yang munasabah.
“Rutin yang diikuti Najib adalah sama seperti banduan lain, cuma bezanya Najib diasingkan daripada banduan lain, dan melakukan aktiviti yang sama,” sumber itu dipetik sebagai berkata.
Menurut sumber itu lagi, pada 4 September Najib telah dipindahkan dari selnya ke wad rawatan dalam Penjara Kajang, tetapi wadnya diasingkan daripada banduan lain atas faktor keselamatan.
Juga, makanan yang diberikan kepada terima Najib adalah sama seperti yang diberikan kepada banduan lain. Bagaimanapun, sekiranya diet khas diperlukan, ia hanya berdasarkan saranan pegawai perubatan atas sebab kesihatan, kata sumber itu lagi.
Pihak penjara tidak membenarkan keluarga membawa makanan kepada banduan semasa lawatan.
“Najib tidak mendapat layanan istimewa sebagai bekas perdana menteri walaupun diletakkan di dalam sel sendiri dan mandi air sejuk, manakala biliknya hanya mempunyai kipas.
“Daripada apa yang dapat dilihat semalam di mahkamah, Najib mengalami alahan kulit akibat kemerahan di lehernya dan dia telah ‘kecut’ sedikit.
“Tiada suis dalam sel Najib. Dia mempunyai alahan yang boleh menyebabkan nafasnya terhenti semasa tidur, jadi dia perlu menggunakan mesin.
“Walaupun begitu, wayar untuk mesin itu terpaksa dipanjangkan,” sumber itu dilaporkan berkata.
Najib dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos selepas panel lima hakim di Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahannya, hukuman penjara 12 tahun, dan denda RM210 juta kerana menyalahgunakan dana awam RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
-BTS Media