BTS Media

Olivia Newton-John, 73, meninggal dunia akibat kanser payudara

GAMBAR ATAS: Creative Commons.

 

Oleh Feste KR

PENYANYI dan pelakon kelahiran British, Olivia Newton-John yang terkenal dengan persembahannya dalam filem “Grease” pada 1978 di samping John Travolta telah meninggal dunia.

Persembahannya menyaksikan dia dicalonkan untuk pelbagai anugerah, termasuk dua Golden Globe, dan anugerah filem lain.

Lagu-lagu ‘evergreen’ yang dibawanya begitu popular bagi peminat genre pop-ringan, termasuk di Malaysia pada sekitar 70an hingga 80an.

Olivia, yang dibesarkan di Australia, juga merupakan bintang ‘multi-platinum’, dengan dua single dan dua album. Dia pernah diiktiraf oleh Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA).

Dia mewakili United Kingdom dalam Pertandingan Lagu Eurovision 1974 dengan lagu Long Live Love. Dalam pertandingan yang berlangsung di Brighton, England itu Olivia menduduki tempat keempat, hanya sedikit di belakang kumpulan Swedish terkenal, Abba yang membawa lagu hit “Waterloo”.

Selain menyanyi dan berlakon Olivia turut aktif berkempen untuk pemeliharaan alam sekitar dan perlindungan haiwan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik ke media sosial oleh suaminya, John Easterling, dia berkata Olivia meninggal dunia dalam keadaan tenang di depan sanak saudaranya di ladang mereka di Selatan California, Amerika Syarikat pagi tadi.

Olivia meninggalkan suami dan anak perempuan, Chloe Lattanzi.

-BTS Media

Leave a Comment