BTS Media

‘Khao Soi’ Thai sup terbaik di dunia

Oleh Zainal AS Rashid

“Khao Soi” yang berasal dari utara Thailand telah dinobatkan sebagai sup terbaik di dunia.

Hidangan itu dipilih dalam laman web makanan interaktif, tasteatlas.com, yang mengetengahkan hidangan terbaik pelbagai negara dalam senarai “50 Sup Terbaik Dunia” Khamis lalu.

Selain Khao Soi, yang mendahului 4.9 mata daripada 5, senarai itu juga memilih Tom Yum Kung (sup udang pedas) dan Tom Kha Gai (ayam kelapa masam) masing-masing pada kedudukan ke-13 dan ke-14. Sup salmon Finland menduduki tempat kedua, diikuti oleh Cullen Skink Scotland dan Ramen tradisional Jepun.

Menurut tasteatlas.com, Khao Soi merupakan “sup kelapa lazat di mana pelbagai pengaruh serantau digabungkan untuk mencipta hidangan yang benar-benar hebat.”

Sup berasaskan kuah agak pedas daripada adunan santan dan pes kari merah ini enak dimakan bersama mi kuning, ayam atau daging, dan dihiasi sedikit mi goreng garing dan ketumbar cincang.

Khao Soi biasanya dihidangkan bersama limau nipis segar, jeruk kubis, bawang merah dan cili.

Laman web itu juga menyenaraikan lima restoran di mana Khao Soi boleh dinikmati di Thailand – semuanya di daerah Muang di Chiang Mai.

Bagaimanapun, menurut vlogger makanan terkenal Thai-Amerika, Mark Weins, bagi orang Islam hidangan istimewa autentik ini juga boleh dinikmati di Restoran Khao Soi Islam (ร้านข้าวซอยอิสลาม) di Chiang Mai, Thailand.

-BTS Media

Leave a Comment