BTS Media

Hutang 1MDB: Tengku Zafrul jangan jadi ular lidah bercabang – Mahathir

MENTERI Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz diingatkan tidak menyalahgunakan kuasanya untuk membersihkan hutang 1MDB.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata kenyataan Tengku Zafrul di Dewan Rakyat pada Selasa lalu seolah-olah hutang 1MDB tidak menjejaskan kewangan negara.

“Beliau seolah-olah memberi gambaran yang beliau tersepit di antara memilih sama ada bertugas mengikut buku atau mengikut perintah tak bertulis ketua yang durjana.

“Rakyat Malaysia faham dan sedar bahawa ini adalah cubaan untuk membersihkan nama individu yang bertanggungjawab di dalam isu hutang 1MDB ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis (4 Ogos).

Bagaimanapun, Mahathir berkata rakyat Malaysia juga ingin tahu apakah langkah, cadangan atau pandangan yang telah diketengahkan oleh beliau selaku menteri kewangan untuk menyelesaikan isu hutang 1MDB.

Katanya, Tengku Zafrul dilantik sebagai menteri kewangan oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu adalah berdasarkan portfolio selaku ahli teknokrat dan profesional dari sektor perbankan bagi mengelakkan kementerian kewangan dimanipulasi untuk tujuan politik.

“Tugas hakiki beliau adalah menguruskan dan menyelesaikan masalah kewangan negara yang sedang dihadapi .

“Yang dipertanggungjawabkan kepada beliau ini adalah melibatkan duit rakyat, bukan syarikat persendirian milik Barisan Nasional (BN),” katanya.

Tambah Mahathir, sekiranya hutang negara tidak dibayar dengan baik, negara boleh muflis.

Katanya, dalam masa yang sama ia bakal memberi kesan negatif kepada pelabur luar untuk melabur.

“Hal ini akan menjadikan negara berhutang dengan bank dunia di mana tabung dana kerajaan akan merosot.

“Dana yang dimaksudkan bukan sahaja dana pembangunan, malah dana operasi awam juga akan terhakis,” katanya.

Mahathir juga berkata ekonomi bakal menjunam dan kesannya adalah malapetaka bagi rakyat yang harus menanggung beban.

Beliau berkata negara telah mewarisi legasi hutang yang begitu serius.

“Ini antara lainnya mengakibatkan gaji rendah yang gagal menyaingi inflasi, harga kereta yang mahal, kadar kemiskinan yang tinggi, ketidaksamaan pendapatan, kenaikan kadar tol lebuh raya yang kerap, penurunan standard pendidikan, pengangkutan awam yang teruk, dan kapitalisme kroni yang berleluasa.

“Kini, kita dapat lihat negara kita sedang berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil pasca pandemik COVID-19, ditambah pula dengan ketidakstabilan politik,” katanya.

Mahathir berkata belum pun selesai kes 1MDB, Tengku Zafrul yang dilihat tidak masuk campur sebelum ini, kini mengeluarkan kenyataan seolah-olah memperlihatkan agenda tersembunyi.

Katanya, pada bulan Mac 2022, Tengku Zafrul sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa wang rakyat digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

“Bagaimanapun kenyataan yang dikeluarkan semalam bagi menjawab soalan Wong Kah Poh telah beralih arah 360 darjah.

“Perkara ini sangat membimbangkan dan amat mengelirukan rakyat. Sekiranya hutang 1MDB tidak termasuk dalam komitmen hutang kerajaan, mengapa hutang tersebut dibayar menggunakan wang rakyat,” soalnya.

Leave a Comment