BTS Media

Parlimen British tutup akaun TikTok kerana kaitan dengan komunis China

GAMBAR ATAS: Italo-Europeo, CC BY-SA 3.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0>, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Yusoff A. Shariff

AKAUN TikTok Parlimen British telah ditutup selepas beberapa ahli parlimen membangkitkan kebimbangan mengenai penggunaan platform media sosial dikendalikan oleh sebuah syarikat yang mempunyai dengan kaitan dengan komunis China.

Tik Tok sepatutnya digunakan sebagai antara saluran media sosial rasmi parlimen British sebagai usaha untuk melibatkan golongan muda.

Hubungan antara Westminster (parlimen British) dan Beijing menjadi tegang selepas tujuh ahli parlimen dikenakan sekatan oleh China.

Jurucakap Parlimen berkata setelah mengambil kira pandangan semua ahli parlimen, akaun Tik Tok yang dalam tempoh percubaan itu terpaksa ditutup lebih awal. Akaun tersebut kini telah dikunci dan semua kandungan dipadamkan.

Orang ramai yang mengikuti akaun itu diminta menggunakan pautan www.parliament.uk.

Syarikat induk Tik Tok, ByteDance berpangkalan di China, dan disebabkan itu ahli parlimen British melahirkan kebimbangan kemungkinan data pengguna disalurkan ke Beijing.

Bagaimanapun,  Tik Tok mendakwa bahawa aplikasi tersebut tidak beroperasi di China, dan semua data disimpan di Amerika Syarikat dan Singapura.

Pihak pengendali aplikasi itu telah meminta untuk diadakan pertemuan dengan semua ahli parlimen British bagi menjelaskan cara data pengguna ditangani. Namun demikian, Parlimen British tegas tidak akan berganjak daripada pendiriannya.

-BTS Media

Leave a Comment