BTS Media

Bercampur dengan anak orang kaya masa muda tingkat pendapatan masa depa – Data Facebook

Oleh Zainal AS Rashid

ANALISIS terhadap 21 bilion persahabatan Facebook menunjukkan bahawa kanak-kanak dari keluarga lebih miskin akan menghasilkan pendapatan tinggi jika mereka membesar dan berkawan dengan anak-anak daripada keluarga lebih kaya.

Sejak sekian lama ramai percaya bahawa dengan mempunyai kawan yang kaya boleh membantu kanak-kanak keluar daripada kepompong kemiskinan. Tetapi, penyelidikan terdahulu hanya berdasarkan saiz sampel yang kecil atau data terhad, menurut dua kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature (sini) pada Isnin.

Oleh itu, satu pasukan penyelidik di Amerika Syarikat beralih kepada Facebook, yang merupakan pangkalan data sosial terbesar di dunia, dengan hampir tiga bilion penggunanya menawarkan skala dan ketepatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini untuk meneliti isu berkenaan.

Mereka menganalisis data dilindungi privasi milik 72 juta pengguna Facebook di AS berumur antara 25 dan 44 tahun. Persahabatan dalam Facebook digunakan bagi mencerminkan keadaan di dunia nyata.

Penyelidik menggunakan algoritma untuk menilai pengguna mengikut status sosio-ekonomi, umur dan wilayah, antara faktor lain.

Mereka kemudian mengukur berapa banyak orang kaya dan yang lebih miskin berinteraksi antara satu sama lain, dan kemudian mencipta istilah “keterkaitan ekonomi” untuk menggambar seluas mana lingkungan persahabatan seseorang yang kaya atau yang berada di bawah paras purata sosioekonomi.

Mereka kemudian membandingkan langkah ini dengan penyelidikan terdahulu tentang keupayaan kanak-kanak untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dalam setiap kawasan poskod AS.

Hasilnya “sangat serupa”, kata Raj Chetty, seorang ahli ekonomi di Universiti Harvard dan peneraju utama kedua-dua kajian itu.

Kertas pertama menunjukkan bahawa keterkaitan ekonomi “adalah salah satu petunjuk terkuat bagi mobiliti ekonomi yang telah dikenal pasti oleh sesiapa pun setakat ini”, kata Chetty.

Kertas kedua berusaha untuk mengetahui mengapa kanak-kanak dari latar belakang yang lebih kaya atau lebih miskin lebih berkemungkinan berkawan di kawasan terpilih berbanding yang lain.

Para penyelidik mendapati dua faktor utama. Satu ialah sejauh mana kedua-dua kumpulan terdedah kepada satu sama lain – contohnya sama ada mereka menghadiri sekolah menengah yang berbeza atau tinggal di kawasan kejiranan yang berasingan.

Walaupun pelajar kaya dan tidak kaya berada di sekolah yang sama, namun mereka masih tidak bergaul antara satu sama lain. Faktor tersebut dinamakan “bias berkawan.”

Kajian itu mendapati kira-kira separuh daripada pemutusan hubungan sosial antara orang kaya dan miskin adalah disebabkan oleh kurangnya pendedahan antara satu sama lain.

“Tetapi, separuh lagi dijelaskan oleh kecenderungan berkawan,” kata Chetty.

Hasil menunjukkan bahawa dasar AS yang bertujuan untuk mengurangkan jurang ekonomi antara sekolah dan wilayah adalah penting tetapi “tidak mencukupi”, tambahnya.

Di mana kanak-kanak yang lebih kaya dan lebih miskin bertemu mempunyai pengaruh besar sama ada mereka menjadi kawan. Oleh itu, institusi memainkan peranan utama.

Sebagai contoh, persahabatan dalam institusi keagamaan seperti gereja “lebih berkemungkinan merentasi garis kelas”, kata Chetty.

Data tentang pendedahan dan kecenderungan berkawan telah diterbitkan pada laman socialcapital.org pada Isnin, dengan penyelidik berharap ia akan mendorong pihak berkuasa di seluruh Amerika Syarikat untuk bertindak.

Chetty yang meramalkan bahawa hasil serupa mungkin juga terdapat di negara lain, menggesa penyelidik dan kerajaan di seluruh dunia supaya mengakses data Facebook mereka sendiri bagi mengetahui tentang keadaan di sekeliling.

Noam Angrist dari Universiti Oxford dan Bruce Sacerdote dari Dartmouth College di New Hampshire berkata penyelidikan itu menunjukkan “sumbangan penting yang akan membolehkan pemahaman lebih mendalam tentang modal sosial”.

“Langkah seterusnya yang wajar adalah untuk memperluaskan hasil kajian dan analisis data Chetty ke negara-negara di luar Amerika Syarikat,” saran mereka pada komen yang dipautkan dalam jurnal Nature.

-BTS Media

 

Leave a Comment