Oleh Zainal AS Rashid
SIASATAN awal polis mendapati sebuah trak pikap Toyota Hilux hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dalam kemalangan maut berhampiran KM 62 Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli semalam.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid dalam satu kenyataan hari ini (Ahad 24 Julai) berkata, lima sekeluarga dari Kedah yang berada dalam kenderaan Perodua Alza maut di tempat kejadian akibat pertembungan itu.
“Pemandu dan penumpang Toyota Hilux, dari Tumpat, Kelantan, cedera dan kini menerima rawatan di Hospital Jeli di Kelantan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada semasa memandu dan merancang perjalanan dengan baik bagi mengelak terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Beliau berkata, amat penting bagi pemandu mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan untuk kekal fokus.
Siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mangsa yang maut ialah Mohd Rodhi Othman, 58; isterinya, Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; anak mereka Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; menantu Ahmad Khomeini Abu, 30; dan cucu Zara Hana Ahmad Khomeini, enam tahun.
-BTS Media