KETUA Sayap Bersekutu Bersatu Edmund Santhara Kumar, hanya mahu melepaskan jawatannya itu, bukan keluar parti seperti didakwa, kata ketua penerangannya, Wan Saiful Wan Jan.
“Saya baru bercakap dengan Santhara Kumar, beliau menjelaskan bahawa beliau hanya berhajat melepaskan jawatan sebagai ketua sayap bersekutu.
“Itu kandungan surat yang beliau hantar, bukan untuk keluar parti dan saya pasti hajat yang dinyatakan itu akan dipertimbangkan oleh pimpinan atasan parti dengan sebaiknya,” katanya.
Semalam, FMT melaporkan Ahli Parlimen Segamat itu telah menghantar surat keluar Bersatu, minggu lalu.
Menurut sumber, tindakan itu diambil selepas Santhara melihat tiada masa depan untuk Ahli Parlimen bukan Bumiputera dalam Bersatu.
“Dia dah hantar surat keluar parti minggu lalu kepada setiausaha agung, presiden pun dah tahu.
“Jadi, Bersatu cuba nak pujuk dia sekarang untuk ubah keputusan tu, tapi dia cakap dia akan teruskan,” kata sumber kepada FMT.
FMT cuba mendapatkan komen Santhara sejak semalam untuk mengesahkan kedudukannya dalam Bersatu, namun beliau belum memberikan sebarang ulasan.
Hari ini Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin, berkata parti itu tidak terjejas dengan tindakan Santhara yang dilaporkan keluar parti.
“Ahli Parlimen kadang-kadang dia hanya mempunyai sikap untuk kepentingan individu sahaja manakala ahli-ahli yang menentukan perjuangan parti, ideologi parti. Segala apa yang dilakukan adalah untuk masa depan agama bangsa dan negara.
“Tak menjadi sesuatu yang boleh menyebabkan parti itu lemah semata-mata atas sikap seorang individu yang mungkin hanya memperjuang untuk dirinya,” katanya menurut Sinar Harian.
Santhara yang juga timbalan menteri pelancongan, kesenian dan budaya, antara 10 Ahli Parlimen yang mengikut Azmin Ali keluar PKR, susulan Langkah Sheraton, pada 2020.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai timbalan menteri Wilayah Persekutuan dalam Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin.