BTS Media

Tunjuk bukti penjawat awam diambil berdasarkan merit, Putrajaya digesa

Oleh Yusoff A. Shariff

SEORANG pesara kanan berkata dia tidak yakin dengan dakwaan oleh seorang menteri bahawa penjawat awam diambil berdasarkan merit, dan meminta kerajaan membuktikan apa yang didakwa.

Ramon Navaratnam meminta kerajaan memberikan pecahan jawatan yang dipegang oleh anggota perkhidmatan awam.

Beliau berkata ini akan menunjukkan bahawa ramai bukan Melayu berkelayakan tidak mendapat jawatan yang dipohon, lapor FMT.

Navaratnam, yang merupakan bekas timbalan ketua setiausaha kementerian kewangan dan ketua setiausaha kementerian pengangkutan, berkata butiran terperinci diperlukan kerana angka yang dinyatakan terlalu umum.

Beliau berkata bukan Melayu secara umumnya tidak menyertai perkhidmatan awam kerana berasa mereka tidak akan dipilih untuk jawatan tinggi.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Cuepacs yang menolak dakwaan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok pada Khamis bahawa perkhidmatan awam dikuasai oleh orang Melayu. Kok berkata demikian selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad mendedahkan bahawa kira-kira 90 peratus daripada 1.2 juta penjawat awam terdiri daripada Bumiputera.

Latiff juga berkata pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah berdasarkan merit.

Bekas ahli parlimen UMNO Tawfik Ismail berkata, tiada insentif untuk bukan Melayu menyertai perkhidmatan awam jika tiada prospek untuk kemajuan.

Menurut beliau kepaksian Melayu (Malay-centricity) dalam perkhidmatan awam adalah politik naungan (politics of patronage) yang diamalkan oleh kerajaan.

Beliau juga mendakwa bahawa Islamisasi di negara ini, yang menurutnya berlaku pada zaman Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim semasa mereka menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri telah “menakutkan” bukan Islam daripada menyertai perkhidmatan awam.

Sementara itu, bekas ketua setiausaha perbendaharaan Sheriff Kassim berkata kerajaan perlu mengumumkan dasar yang memberi peluang sama rata dalam semua cabang perkhidmatan awam, tanpa mengira kaum dan agama.

“Ini akan menarik lebih ramai graduan daripada universiti terkemuka dan bukan Melayu untuk menyertai cabang pentadbiran, teknikal dan profesional,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment