Oleh Yusoff A. Shariff
BEKAS Menteri besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah mempertahankan tindakan beliau meluluskan projek tanaman durian di puncak gunung bagi tujuan penanaman semula pokok.
Beliau mengaku meluluskan cadangan ECK Development Sdn Bhd semasa penggalnya sebagai MB dengan harapan aktiviti pembalakan tidak lagi berlaku di Gunung Inas, Baling.
Ahmad Bashah yang menyatakan demikian melalui post di Facebook menjelaskan bahawa tujuannya ialah bagi memastikan lebih banyak pokok ditanam agar tidak mendatangkan masalah kepada kawasan sekitar.
Kenyataan beliau menyusul selepas bekas Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir mendakwa sebuah syarikat kerajaan negeri Kedah diamanahkan menanam pokok durian di puncak gunung itu semasa pentadbiran Ahmad Bashah.
Menurut Mukhriz apabila inisiatif itu gagal, sebuah syarikat swasta telah mengambil alih projek tersebut.
Ahmad Bashah berkata niat kerajaan negeri ialah untuk memastikan kawasan itu dipulihkan selepas pembalakan.
Beliau menggesa supaya isu tersebut tidak dipolitikkan, dihentikan tuduh-menuduh, dan sebaliknya bertindak segera menangani masalah di lokasi berkenaan.
Projek Ladang Musang King di Gunung Inas dikatakan antara punca berlaku bencana banjir yang memusnahkan sebuah kampung dan memaksa pemindahan lebih 1,000 penduduk pada 4 Julai lepas.
Tiga otang maut, tujuh rumah dihanyutkan arus deras, manakala 70 lagi mengalami kerosakan dalam bencana itu.
Bagaimana pun, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan berkata banjir itu bukan berpunca daripada pembalakan.
-BTS Media