GAMBAR ATAS: BTS Media.
PENETAPAN harga siling ayam mahupun penubuhan jawatankuasa melawan inflasi dengan nama berbaur keagamaan tidak berupaya menyelesaikan masalah kenaikan mendadak harga barangan, kata bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim.
Beliau turut mengingatkan bahawa slogan politik juga tidak akan menangani kemelut ekonomi, apatah lagi menyelesaikannya.
Sebaliknya, suatu pasukan kepimpinan yang mantap merangkumi mereka yang arif tentang pengoperasian ekonomi harus ditubuhkan untuk memacu negara keluar daripada kekusutan sekarang, kata Zaid.
Pasukan itu mestilah dianggotai individu kompeten, berpengalaman dan boleh dipercayai, selain arif tentang ekonomi dan perniagaan, katanya.
Di samping berkebolehan menangani situasi ekonomi, pasukan itu juga mesti berupaya menjelaskan situasi semasa kepada rakyat agar mereka memahami impak peristiwa global ke atas ekonomi negara.
Zaid menambah, Umno mempunyai ahli berpengalaman dan layak untuk memimpin pasukan pemulihan ekonomi sedemikian, sekiranya itu yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
“Tak payah susah-susah. Umno mempunyai beberapa ahli yang betul-betul faham tentang kewangan dan ekonomi dan amat layak memimpin pasukan sebegitu, namun tidak diberi peluang untuk menyumbang,” kata beliau.
Zaid berkata, selain memikul tanggungjawab berat membaiki struktur ekonomi negara, kerajaan juga harus memberi perhatian khusus kepada nasib golongan berpendapatan rendah dan menyalurkan bantuan kewangan yang wajar agar mereka tidak terjerumus ke dalam kancah kemiskinan tegar.
Zaid berkata demikian selepas Putrajaya mengumumkan penubuhan pasukan “jihad” melawan inflasi susulan kemarahan orang ramai terhadap kenaikan drastik harga pelbagai barang dan keperluan asas.
Banyak pihak mengkritik pelantikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa sebagai ketua pasukan petugas khas itu.
Rakyat yang cemas akan kenaikan mendadak kos sara hidup, rata-rata mengkritik kerajaan yang dianggap gagal membantu menstabilkan harga barang. Semalam, satu tunjuk perasaan diadakan di Kampung Baru, Kuala Lumpur selepas solat Jumaat.
Zaid mengingatkan isu berkaitan inflasi tidak akan berakhir selagi perang Ukraine-Rusia berlarutan dan rantaian bekalan antarabangsa yang terjejas tidak pulih.
Inflasi ini masalah ekonomi, dan slogan berbaur keagamaan tidak menyumbang apa-apa (penyelesaian) pun.
“Inflasi ini masalah ekonomi, dan slogan berbaur keagamaan tidak menyumbang apa-apa (penyelesaian) pun,” kata Zaid merujuk nama penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipimpin Annuar.
Zaid berkata, penggunaan slogan yang hanya sedap didengar tidak mengatasi masalah, dan merujuk kempen Jihad Perangi Orang Tengah yang dilancarkan sebelum ini untuk menangani masalah menyorok barang dan manipulasi harga, sebagai contoh kempen nasional yang gagal.
“Slogan politik semata-mata tidak mungkin selesaikan masalah ekonomi,” tegas beliau.
Zaid mempersoalkan keperluan pasukan khas Jihad terbaharu, memandangkan perdana menteri sendiri mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, serta Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.
Katanya, MPN ditugaskan untuk melihat isu inflasi sebagai salah satu kesan wabak Covid-19.
Zaid berkata, hakikatnya adalah semua negara berdepan masalah inflasi yang tidak mungkin boleh dihapuskan.
“Justeru, kita hanya perlu mengurus inflasi (dengan cekap). Inflasi diperlukan untuk membolehkan ekonomi berkembang, tetapi ia perlu berada pada tahap yang wajar dan terkawal, diiringi kenaikan gaji dan pendapatan yang setimpal,” kata beliau.
Atas sebab itu, Zaid menegaskan, langkah menetapkan harga siling ke atas ayam tidak akan menyelesaikan isu bekalan ayam dalam jangka panjang. Beliau berkata, negara lain tidak menetapkan harga siling ke atas ayam, seperti mana tidak ada harga siling ke atas ikan.
Beliau berkata, harga siling hanya akan memburukkan masalah kekurangan bekalan ayam kerana pengeluar terpaksa menanggung kos ternakan yang mengatasi harga siling ketika berdepan kos input seperti dedak, melonjak.
Katanya, rakyat juga perlu menerima hakikat bahawa harga jagung dan soya dunia di luar kawalan kerajaan, sama seperti harga minyak sawit, meskipun Malaysia pengeluar kedua terbesar dunia. Harga dua bijiran itu membentuk lebih 70% kos mengeluarkan ayam.
Zaid berkata, pendirian kerajaan yang tidak tetap seperti memansuhkan harga siling dan kemudian mengekalkannya boleh menghakis keyakinan peniaga serta pengguna.
“Asas ekonomi adalah bekalan dan permintaan. Herotan dalam pasaran seperti mengenakan harga siling boleh memburukkan keadaan kerana kerajaan tidak akan mampu menanggung subsidi harga ayam selama-lamanya. Dahlah harga tak turun, bekalan pun kurang – seperti yang kita dapat lihat sejak beberapa bulan lalu,” katanya.