BTS Media

Kereta terjunam ke Sungai Muda: Ahli keluarga menuntut mayat guru, dua anak lelaki

GAMBAR ATAS: NST.

 

Oleh Fetty Rara

“Anak-anak saya mati dalam pelukan ibu mereka.”

Itulah kata-kata sedih Sharudin Aziz, 51, sambil menahan sebak berikutan kehilangan isteri dan dua anak lelakinya dalam kemalangan tragis.

Namun demikian, Sharudin menangis juga, tetapi segera menenangkan diri untuk menenteramkan hati anak sulungnya Mohd Ziyad Hadif, 10.

Seorang kakitangan bilik mayat Hospital Kulim memberitahu beliau bahawa tugas menguruskan jenazah dua anaknya telah selesai, dan hanya mayat ibu mereka sedang diproses.

Setelah dimaklumkan, Sharuddin kelihatan semakin erat memeluk anaknya sambil mengangguk dan bersiap untuk ke pintu belakang Unit Forensik untuk mengambil mayat, lapor NST.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 5.50 petang Sabtu (25 Jun), isterinya Mashitoh Ibrahim, 37, hilang kawalan kereta Proton Pesona yang dipandu di jambatan berhampiran Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, lalu terjunam ke Sungai Muda.

Guru agama di SK Selarong itu berada bersama dua anak lelakinya, Mohd Ziyad Zikri Sharudin, 7, dan Mohd Ziyad Haziq, 5, selepas menghadiri mesyuarat tahunan Persatuan Ibu Bapa sekolah tersebut.

Sharudin ketika itu berada di Sungai Petani apabila dimaklumkan tentang kejadian tersebut oleh sepupunya.

Beliau berkata sepupunya bertanyakan nombor pendaftaran kereta, kerana plat depan kenderaan ditemukan di lokasi kejadian.

Sharudin berkata sejurus diberitahu tentang tragedi itu, beliau berasa seolah-olah dunia baginya hancur sama sekali.

Beliau yang berjalan menggunakan tongkat setelah mengalami kecederaan dalam kemalangan motosikal di Kuala Ketil dua tahun lalu, berada dalam keadaan koma selama 26 hari.

Mengimbau keadaannya dengan kecacatan kekal itu, Sharudin terkenang betapa isterinya sentiasa berada di sisi sepanjang tiga bulan di rawat di hospital dan hampir sembilan bulan terlantar di atas katil.

Menurut timbalan pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, kereta ditemukan oleh pasukan penyelam pada kedalaman lebih kurang 7.6 meter pada kira-kira pukul 1.41 pagi.

Sebuah kren digunakan untuk menarik keluar kereta itu pada pukul 3.30 pagi.

Bagi Sharudin, begitu menyayat hati melihat mayat anak-anak dan ibu berpelukan di tempat duduk belakang kereta.

Beliau, bagaimana pun, reda dengan pemergian mereka.

Semua mayat diambil oleh keluarga pada pukul 2.15 petang dan dibawa ke tempat kelahiran Mashitoh di Kampung Lengkuas, Bukit Pinang, Pokok Sena untuk dikebumikan pada selepas asar semalam (26 Jun).

-BTS Media

Leave a Comment