Oleh Yusoff A. Shariff
Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2021 didapati merosot sebanyak 0.06 mata.
Ketua Pengarah Pendidikan Nor Zamani Abdol Hamid berkata GPN bagi 2021 ialah 4.86, berbanding 4.80 pada 2020.
Ketika mengumumkan keputusan SPM 2021 pada Khamis (16 Jun) Nor Zamani berkata angka yang lebih rendah bermakna skor lebih baik.
Beliau berkata perbandingan pencapaian perolehan semua A dan GPN antara SPM 2021 dan tahun sebelumnya tidak boleh disukat mengikut konteks biasa kerana calon SPM 2021 merupakan kumpulan pertama pelajar menduduki peperiksaan SPM menggunakan format peperiksaan dan Kurikulum Berasaskan Standard Sekolah Menengah (KSSM) baharu.
Menurut Nur Zamani bukan mudah untuk membuat persediaan menghadapi peperiksaan utama seperti SPM ketika proses pembelajaran secara bersemuka amat terhad.
Beliau menjelaskan bahawa pihak kementerian tidak mahu membuat perbandingan kerana keadaan dikira mencabar bagi calon yang terpaksa menduduki peperiksaan semasa pandemik Covid-19.
Peperiksaan bertulis SPM 2021 berlangsung dari 2 Mac hingga 29 Mac membabitkan seramai 407,097 calon.
Calon boleh mendapatkan keputusan mereka secara dalam talian melalui pautan myresultspm.moe.gov.my atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip SPM <jarak>No.KP<jarak> Angka Giliran dan hantar SMS ke 68886, mulai pukul 10.00 pagi dan seterusnya.
-BTS Media