Oleh Zainal AS Rashid
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa menghadiri sesi perbincangan meja bulat anjuran Institut Masa Depan Malaysia.
Perbincangan yang menyentuh isu-isu ekonomi semasa turut disertai oleh Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Michael Kang merangkap ahli Majlis Pemulihan Negara (MPN), pakar ekonomi Prof Emeritus Datuk Dr Norma Mansor, Prof Dr Jamal Othman, dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Uzir Mahidin, yang membentangkan kedudukan semasa ekonomi negara.
Menurut Muhyiddin, yang juga Presiden parti BERSATU, Malaysia merekodkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada kadar 5% bagi suku pertama 2022 berbanding 3.6% bagi suku sebelumnya.
Beliau berkata walaupun trend pemulihan negara menunjuk penambahbaikan, namun isu inflasi dan kenaikan harga barang keperluan perlu diberi tumpuan khusus dengan mengambil kira faktor situasi global, seperti konflik di Ukraine, perintah kawalan pergerakan di China serta kadar tukaran wang asing negara yang lemah.
Sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 terutama perladangan, perkhidmatan dan pembinaan juga masih berdepan isu kekurangan pekerja yang menjejaskan pemulihan dalam sektor tersebut.
Susulan perbincangan meja bulat ini, Muhyiddin meminta pakar-pakar ekonomi mengemukakan cadangan kepada MPN bagi mengatasi isu kos sara hidup dan kenaikan harga barang yang dihadapi oleh rakyat sekarang, terutamanya golongan B40, termasuk golongan M40 yang turut terjejas dengan isu inflasi dan kenaikan harga barang.
Muhyiddin berkata beliau memandang serius isu peningkatan harga barang sejak kebelakangan ini dan impaknya terhadap kebajikan rakyat.
Beliau berkata sewaktu pandemik COVID-19, kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 bilion secara suntikan langsung melalui lapan pakej rangsangan bagi membantu rakyat yang terjejas.
Muhyiddin berkata dalam negara bergerak ke hadapan, angka pertumbuhan ekonomi makro yang dicatatkan akan lebih bermakna apabila ekonomi rakyat turut berkembang seiring.
-BTS Media