Dua gol menerusi situasi bola mati menyaksikan skuad Harimau Malaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Dua jaringan menerusi sepakan penalti dan sepakan percuma dalam setiap babak membolehkan skuad negara melangkah ke saingan Kelayakan Piala Asia 2023 minggu depan dengan motivasi tinggi.
Dalam aksi persahabatan kedua selepas membenam Brunei 4-0 Jumaat lalu, pengendali negara Kim Pan-gon hanya mengekalkan dua pemain iaitu Syamer Kutty Abba dan Dion Cools dalam kesebelasan utama.
Malah, pemilihan empat penyerang iaitu Darren Lok, Arif Aiman, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid di bahagian depan nyata membawa impak berkesan dengan benteng pertahanan pelawat tidak senang duduk sepanjang aksi.
Safawi memulakan siri serangan negara pada minit kelima apabila dia meledak rembatan padu selepas menerima hantaran cantik Arif namun mudah dibaca penjaga gol Hong Kong, Argolo Cesar.
Pada minit me-12 pasukan tuan rumah datang lagi menerusi tandukan Corbin Ong yang sedikit melambung, sebelum percubaan Arif pula berjaya diselamatkan pertahanan lawan.
Malaysia yang tidak pernah menang ke atas Hong Kong sejak 2012 akhirnya memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti Safawi pada minit ke-31 selepas Akhyar dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh Fung Hing Wa.
Menuju ke bilik persalinan, Lok yang sudah menghimpun lima gol bersama Petaling Jaya City dalam saingan Liga Super musim ini hampir mencetak nama selaku penjaring tetapi tandukannya sedikit tinggi.
Memasuki babak kedua, pelawat yang dibimbing jurulatih dari Norway, Jorn Andersen tampil lebih tersusun untuk memburu gol penyamaan.
Begitu pun rentak tuan rumah sedikit kendur terutama selepas Pan-gon mengeluarkan Lok, Akhyar, Arif dan Safawi.
Kemasukan dua tonggak naturalisasi iaitu Guilherme de Paula dan Mohamadou Sumareh serta Safiq Rahim dan Faisal Halim kurang menyengat dan mudah dipatahkan benteng pelawat.
Namun gol tambahan yang dicari tetap hadir di minit 89 hasil sepakan percuma Safiq yang membias terkena benteng lawan untuk mengakhiri aksi dengan kemenangan.