BTS Media

Laporan: Tengku Zafrul ahli UMNO sebelum masuk Kabinet, kata Ahmad Maslan

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Kini kencang dikatakan kononnya Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sudah lama menjadi ahli UMNO sebelum dilantik ke kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan membuat spekulasi ini berikutan dakwaan bahawa Tengku Zafrul mungkin akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Ahmad yang dipetik oleh Utusan Malaysia, bagaimana pun tidak menjelaskan Tengku Zafrul daripada bahagian UMNO mana, selain menyatakan bahawa adiknya, Tengku Zuhri Abdul Aziz memegang jawatan timbalan ketua UMNO Lembah Pantai.

Bagaimana pun, carian pada profil Tengku Zafrul, yang juga seorang senator pada laman web Parlimen tidak pula menyenaraikan beliau sebagai ahli mana-mana parti.

Beliau yang berlatar belakang korporat perbankan dinaikkan menjadi menteri di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan kemudian dikekalkan setelah Ismail Sabri mengambil alih.

Tengku Zafrul sedang mengintai untuk bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN)

Spekulasi terbaharu mengatakan bahawa Tengku Zafrul sedang mengintai untuk bertanding di atas tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Ini bertentangan dengan prosedur yang mempertanggungjawabkan pengerusi BN dan presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘tukang lulus’ penyenaraian mana-mana calon dari blok politik itu.

Apatah lagi memandangkan Ahmad Zahid dilihat sebagai pengkritik Tengku Zafrul berdasarkan usaha menteri kewangan itu mempengaruhi kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) beberapa kali sejak setahun lalu, lapor Malay Mail.

Katanya kerusi yang diintai oleh Tengku Zafrul ialah Sungai Besar, di mana ketua bahagian UMNO di situ, Jamal Md Yunos dilaporkan pada Isnin lalu bersedia untuk membuka jalan kepada menteri kewangan itu bertanding pada PRU15.

Utusan Malaysia turut memetik Jamal berkata bahawa UMNO juga harus mempertimbangkan untuk meletakkan Tengku Zafrul di kerusi lain di Selangor.

Isunya di sini ialah kerana ketua bahagian UMNO Sungai Besar itu adalah penyokong ketua UMNO Selangor Noh Omar, justeru tindakan bersekutu dengan Tengku Zafrul, selain kerjasama dengan PAS meletakkan mereka bertentangan dengan Ahmad Zahid.

Sementara itu, selain Sungai Besar, bekas menteri wilayah persekutuan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tahun lepas turut menggembar-gemburkan Tengku Zafrul sebagai calon yang boleh menang bagi UMNO di kerusi Lembah Pantai.

Buat masa ini kerusi Lembah Pantai dipegang oleh Fahmi Fadzil (PKR).

-BTS Media

Leave a Comment