BTS Media

Cacar Monyet: Saintis ‘terkejut’ penularan virus di Eropah, Amerika Utara

ATAS: Carta penularan penyakit cacar monyet di seluruh dunia setakat 23 Mc 2021/WHO.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Pakar penyakit yang memantau wabak cacar monyet berkata mereka “terkejut” menyaksikan penularan semakin meluas virus tersebut baru-baru ini di Eropah dan Amerika Utara.

Mengikut sejarah, jangkitan cacar monyet hanya direkodkan dalam kalangan individu yang pernah berkunjung ke wilayah Afrika tengah dan Afrika Barat. Tetapi, sejak beberapa minggu kebelakangan ini, negara barat termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Sepanyol, Portugal, Itali, Sweden dan Kanada telah merekodkan kes, kebanyakannya membabitkan individu lelaki muda yang tidak pernah berkunjung ke Afrika sebelum ini.

Menurut angka terkini daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), terdapat kira-kira 80 kes yang disahkan di seluruh dunia bersama 50 kes disyaki.

Ahli Virologi yang juga bekas ketua Akademi Sains Nigeria Oyewale Tomori, memberitahu Associated Press bahawa beliau terkejut melihat perkembangan sekarang apabila semakin banyak kes dikesan di negara-negara lain.

Beliau yang juga ahli lembaga penasihat WHO berkata memandangkan apa yang berlaku sekarang ia bukan jenis penularan yang terdapat di Afrika Barat, tetapi mungkin ada sesuatu yang mencetuskannya di barat, lapor akhbar The Independent.

Banyak juga kes dalam kalangan individu lelaki ‘gay’ yang melakukan hubungan seks sejenis dan yang biseksual

Gejala biasa cacar monyet termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, sakit belakang, nodus limfa bengkak, menggigil dan keletihan.

Setakat ini tiada kematian dilaporkan, tetapi WHO menganggarkan ia boleh juga berlaku.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah mengesyorkan supaya semua kes yang disyaki diasingkan dan individu berisiko tinggi diberikan vaksin cacar.

Menurut WHO, kira-kira 3,000 kes cacar monyet direkodkan di Nigeria setiap tahun.

Wabak biasanya berlaku di kawasan luar bandar, apabila orang ramai mempunyai kontak dengan tikus dan tupai yang dijangkiti, tetapi kemungkinan juga ada jangkitan yang berlaku dalam keadaan berbeza.

Pada Jumaat (20 Mei),11 lagi kes cacar monyet dikesan di England oleh Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA). Jangkitan terbaharu menjadikan jumlah 20 kes yang disahkan di England sejak 6 Mei.

Ketua penasihat perubatan di UKHSA Dr Susan Hopkins berkata pihaknya menjangkakan bahawa kes selanjutnya akan dikesan melalui kerjasama dengan perkhidmatan kesihatan nasional UK (NHS) dan badan kesihatan lain.

Beliau, antara lain berkata kajian mendapati bahawa terdapat juga banyak kes dalam kalangan individu lelaki ‘gay’ yang melakukan hubungan seks sejenis dan yang biseksual.

Pihak berkuasa kesihatan di Sepanyol dan Portugal melaporkan pengesanan kes-kes dalam kalangan individu lelaki yang pernah melakukan hubungan seks bersama lelaki lain.

-BTS Media

Leave a Comment