BTS Media

Janna Nick Gatal Raya pula

ATAS: Kini Janna Nick tampil dengan lagu Gatal Raya sempena Syawal ini.

 

Oleh Khadijah Ibrahim

 

Bertuah sungguh pelakon dan penyanyi Janna Nick kerana lagu Gatal, ciptaan Aepol Roza yang dirakamnya itu menjadi tular terutamanya di aplikasi TikTok.

Malah sejak dimuat naik di saluran YouTube hingga kini jumlah tontonan telah mencecah 6.6 juta kerana video muzik tersebut bukan saja ditonton oleh warganet tempatan malah di peringkat antarabangsa juga.

Dek populariti lagu tersebut masih lagi di puncak, pihak Warner Music mengambil inisiatif untuk menjadikan lagu Gatal menjadi versi raya pula dengan judul Gatal Raya.

Untuk lagu Gatal Raya, Aepul Roza yang juga penulis lirik asal lagu Gatal, sekali lagi terpaksa menulis semula lirik untuk disesuaikan dengan tema raya.

Ternyata lagu dan lirik Gatal oleh Aepol Roza membawa tuah kepada Janna Nick.

“Nampaknya demam lagu Gatal belum lagi reda-reda, dan memandangkan sambutan luar biasa yang berterusan oleh peminat dengan jumlah tontonan sebanyak 6.6 juta di laman YouTube, pihak Warner mencadangkan agar single Gatal ‘dirayakan’ pula.

“Komposer asal, Aepul Roza dipertanggungjawabkan semula menulis lirik dan menggubah muziknya sesuai dengan feel Raya,” jelas pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner, 26.

Maksud lagu ini agak straightforward dengan mengisahkan tentang sambutan hari raya.

Lagu Gatal Raya berjaya dirakamkan dalam masa dua jam sahaja di Studio Dramabois, manakala proses adunan serta suntingannya pula telah mengambil masa selama seminggu untuk dilaksanakan.

“Walaupun jadual seni saya agak padat, kami berjaya merakamkannya dalam masa yang singkat, ini kerana saya sudah pun bekerja dengan Aepul sebelum ini dan saya faham apa yang dikehendakinya ketika berada di dalam studio.

“Namun begitu, saya tidak berpeluang menghasilkan MV (video muzik) kerana kekangan masa, jadi kami akan melancarkan audio rasmi sahaja di laman YouTube Warner Music Malaysia,” tambah Janna.

Single rancak dalam nuansa moden ini masih lagi mengekalkan tempo yang sama dengan penambahan muzik daripada instrumen yang sering digunakan dalam kebanyakan lagu raya, walaupun begitu ia tetap kedengaran segar dan menggamit perhatian.

“Walaupun lagu ini bertemakan hari raya, namun signature bunyi Gatal itu jelas kedengaran. Maksud lagu ini agak straightforward dengan mengisahkan tentang sambutan hari raya.

Janna Nick mengambil masa dua jam untuk merakam lagu Gatal Raya.

“Bagaimana bila menjelangnya Aidilfitri nanti, ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk bertemu sanak-saudara dan saling bermaaf-maafan di antara satu sama lain,” ujar Janna.

Menurut Janna, bulan Ramadan adalah bulan untuknya bekerja dan melunaskan pelbagai aturan seni yang telah direncanakan setelah sekian lama, dan Aidilfitri baginya adalah hari yang ditunggu-tunggu kerana berpeluang bertemu semula dengan atuk serta nenek di kampung yang sudah lama tidak bersua.

Janna berharap agar lagu Gatal Raya ini diterima ramai serta menghiburkan kesemua rakyat Malaysia dan dapat menemani pendengar di sepanjang perjalanan pulang ke kampung nanti.

“Saya juga berharap agar lagu atau branding Gatal terus mendapat sokongan dan diingati sampai bila-bila,” katanya.

Lagu Gatal Raya boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi kesemua syarikat telekomunikasi tempatan dan juga boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala audio rasmi single ini pula akan dimuat naik secara eksklusif hanya di saluran YouTube Warner Music Malaysia.

-BTSMedia

Leave a Comment