BTS Media

Tangan Umno terikat, terpaksa namakan Ismail sebagai calon PM, kata penganalisis

Umno tidak mempunyai banyak pilihan selain mencadangkan Naib Presiden Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dengan dua penganalisis bersetuju bahawa tangan parti itu “terikat” berhubung perkara berkenaan.

Felo kanan Akademi Nusantara (kajian strategik) Azmi Hassan berkata, dari segi strategi parti, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk menamakan Ismail sebagai calon perdana menterinya semalam bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Tangan Umno terikat,” kata Azmi kepada FMT. “Ismail adalah perdana menteri sekarang dan tidak menamakannya sebagai calon untuk PRU15 dilihat tidak baik untuk parti itu.

“Saya juga fikir adalah baik untuk menamakan beliau kerana ini akan menyejukkan politik dalaman Umno.”

Walaupun mengakui nama Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan disebut sebagai calon parti yang berpotensi untuk menjadi perdana menteri, namun Azmi berkata, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu tidak pernah menjadi ahli Parlimen dan beliau tidak pernah menyuarakan harapan untuk berada di kedudukan paling atas itu sendiri.

Dengan menegaskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau itu boleh menjadi perdana menteri yang berkebolehan, Azmi berkata, dengan mencalonkan Mohamad, akan kelihatan seolah-olah Umno “cuba menolak Ismail”.

Manakala itu James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania pula berkata, Umno tidak mempunyai banyak pilihan mengenai siapa yang hendak dicalonkan berikutan kes mahkamah yang dihadapi presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

Menyifatkan Ismail sebagai “wajah Umno yang boleh diterima” dengan melihat kes rasuah melibatkan kedua-dua pemimpin itu, beliau berkata, “tidak merugikan Umno” untuk mencalonkan Ismail selain ia akan menghantar isyarat berhubung kestabilan dan kesinambungan.

Chin juga berkata, sebagai perdana menteri, terpulang kepada Ismail untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen, yang akan membuka jalan kepada pilihan raya baharu.

“Jika anda tidak menamakan Ismail sebagai calon perdana menteri, maka mengapakah dia perlu bersusah payah pergi menghadap Agong dan melepaskan dirinya daripada jawatan itu?” katanya.

“Jadi, dalam banyak keadaan, tangan mereka (Umno) terikat.”

Leave a Comment