BTS Media

Masih ada yang ingkar, rakyat Singapura cuba beli RON95 walaupun dilarang

 

Oleh Zainal AS Rashid

Setelah sempadan dibuka pada 1 April lalu rata-rata pengusaha stesen minyak di Johor mengambil langkah bagi memastikan kenderaan dari negara luar tidak mengepam petrol RON95 subsidi kerajaan Malaysia.

Antara langkah yang diambil termasuk memantau kenderaan berdaftar asing yang singgah untuk mengisi tangki minyak.

Jika berlaku sesetengah petugas stesen minyak akan menjelaskan kepada si pemandu bahawa mereka tidak dibenarkan mengisi RON95 selaras dengan peraturan kerajaan Malaysia.

Bagaimana pun, pernah berlaku kejadian di mana pelanggan yang memandu kenderaan berdaftar di Singapura ingkar dan memilih untuk berkeras dan bertengkar membantah larangan tersebut.

Juruwang stesen minyak juga dikehendaki bertanya kepada setiap pelanggan yang membeli RON95 sama ada mereka menggunakan kenderaan dengan pendaftaran Malaysia, selain menunjukkan kenderaan tersebut bagi kepastian.

Dalam pada itu petugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna turut dilaporkan membuat rondaan ke stesen minyak susulan tularnya video dalam media sosial baru-baru ini yang menunjukkan rakyat Singapura mengisi RON95.

Bagi pelaku pula ada dalam kalangan mereka yang cuba memintas peraturan dengan cuba mengisi RON95 menggunakan kad kredit pada kiosk, namun sering kali dapat dikesan oleh petugas dan serta-merta transaksi dihentikan.

Kenderaan dengan pendaftaran asing hanya dibenarkan membeli minyak RON97.

-BTS Media

Leave a Comment