Oleh Zainal AS Rashid
Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB) mengharamkan penggunaan bekas polisterin dan kertas surat khabar untuk membungkus makanan oleh peniaga di bazar Ramadan tahun ini.
Datuk Bandar Johor Baru Datuk Noorazam Osman berkata mereka juga diwajibkan memakai topeng muka dengan betul, apron dan sarung tangan pakai buang semasa mengendalikan perniagaan di gerai masing-masing.
Sebagai alternatif beliau menasihatkan pelanggan supaya membawa bekas makanan sendiri.
Dalam ucapan semasa mesyuarat majlis penuh MBJB pada Rabu (30 Mac), beliau berkata pendekatan itu akan membantu mengurangkan sampah dan membantu memelihara alam sekitar daripada pencemaran.
Beliau berkata, tahun ini MBJB telah meluluskan sejumlah 44 Bazar Ramadan dan empat Bazar Hari Raya Aidilfitri.
Lokasi bazar berkenaan ialah di Jalan Padi Ria 13, Bandar Baru Uda, pusat penjaja Bandar Baru Uda di Jalan Padi Mahsuri 22, Jalan Mata Kucing dan Masjid Ungku Aminah di Kampung Pasir, Tampoi.
Bazar Hari Raya Aidilfitri pula bertempat di Tebing Dato Onn di Bandar Dato Onn, kawasan parkir kereta pusat beli-belah Bandar Dato Onn Aeon dan Pusat Belia Tunku Mahkota Ismail di MBJB Urban Jungle. Lokasi keempat masih belum ditetapkan.
Umat Islam akan mula menjalan ibadah puasa Ramadan pada 2 April ini.
-BTS Media