BTS Media

Vanida berjaya penuhi impian bapa

Gambar atas: Bersama bapa, Imran Abdullah dan anak-anak, Mikail Aimran dan Maryam Rashika.

Oleh Khadijah Ibrahim

Tiada apa yang lebih menggembirakan pelakon Vanidah Imran, 48, apabila berjaya membuat bapanya, Imran Abdullah tersenyum bangga melihat dia menggenggam skrol ijazah.

Menurut Vanida, tempoh empat tahun bergelut bagi melengkapkan tempoh pengajian dalam Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Universiti Malaya (UM) bukanlah sesuatu yang mudah.

Apatah lagi dalam tempoh yang sama, dia perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu, pensyarah di Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM), tuntutan seni dan belajar.

Namun titik peluhnya berbaloi kerana Vanidah merupakan salah seorang penerima ijazah daripada lebih 7,682 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-61, UM yang berlangsung Sabtu lalu (12 Mac) di Dewan Tunku Canselor universiti berkenaan.

Ibu tunggal kepada Mikail Aimran dan Maryam Rashika itu menggenggam sarjana dan menyarung jubah konvokesyen pada sidang ke-15 istiadat berkenaan yang berlangsung sejak 5 hingga 13 Mac.

Akhirnya perjuangan Vanida selama empat tahun berbaloi kerana berjaya mendapat Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Universiti Malaya.

Jelas pelakon filem Red Kebaya itu, selama ini bapanya Imran @ Indiran Koothayan sebenarnya seakan tidak gemar melihat dia memilih jalan sebagai anak seni.

Kata Vanidah, bapanya berpendapat kerjaya seni tidak mampu menjamin masa depan dan berharap suatu hari nanti Vanidah akan membuat keputusan atau benda lain.

“Bapa tak pernah jemu dan berhenti meminta saya sambung belajar. Kata-katanya seperti sampai bila nak kerja berlakon balik lewat pagi terus berbekas di hati. Saya bersyukur Tuhan gerakkan hati untuk saya jadi realistik sekali gus sambung belajar.

“Orang selalu kata buat sesuatu harus ambil kira nasihat ibu bapa. Ternyata apa yang bapa saya tekankan selama ini ada keberkatannya. Saya tak pernah menyangka akan dapat tawaran masuk dunia akademik termasuk bergelar pensyarah.

“Itu semua antara hikmah yang saya dapat apabila mula membuat keputusan besar dalam hidup untuk mengutamakan sisi akademik selain mengimbangi kehidupan hakiki. Paling penting bapa yang tidak menentu tahap kesihatannya masih berpeluang menyaksikan kejayaan ini,” katanya.

Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 ini terlebih dahulu bergelar graduan ijazah sarjana muda Pengajian Bahasa Inggeris pada tahun 2015 di Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Meskipun perlu bijak membahagi masa antara kehidupan dan kerjaya, Vanidah bersyukur kerana sepanjang pengajian dia didampingi rakan-rakan yang sehaluan.

“Pergelutan itu memang bukan calang-calang. Ia tak mudah langsung, tetapi saya bersyukur kerana dirahmati. Saya memiliki kawan yang sama-sama buat sarjana termasuk Hasif Roslan dan Mohamad Shukri Mohd Tahir.

“Kami bertiga berjanji, walau apa jua cabaran akan menamatkan pengajian sarjana ini. Kami saling memberi motivasi dan membakar semangat antara satu sama lain.

“Saya juga beruntung kerana tak pernah putus sokongan daripada kawan lain seperti Prof Madya Aminah Rhapor, penyelia (Dr Marlenny Deenerwan), keluarga dan anak,” katanya.

Vanidah pernah mengakui sebelum ini betapa ruginya tidak menyambung pengajian ketika masih muda.

“Apabila belajar di usia melewati angka empat siri dengan tuntutan tanggungjawab serta komitmen sebagai ibu dan anak, ia bukanlah fasa mudah.

“Berbanding masa muda, kita kurang bebanan. Tapi saya terima segala-galanya dengan lapang dada. Menyambung pengajian ketika ada anak kecil dan keluarga itu lebih buat saya jadi kuat.

“Namun sebanyak mana tekanan, tanggungjawab mahupun suntikan motivasi atau nasihat daripada orang lain, pada akhirnya kita yang mengharungi ‘battle’. Nak buat terbaik atau sebaliknya terserah kepada diri sendiri,” katanya.

Akhirnya perjuangan Vanida selama empat tahun berbaloi kerana berjaya mendapat Sarjana Seni Persembahan (Drama) di Universiti Malaya.

Menghampiri tiga dekad bergelar anak seni, Vanidah optimis keputusan menyambung belajar juga didorong pelbagai faktor termasuk realiti pentas hiburan itu sendiri yang masih goyah tanpa jaminan konkrit.

“Pentas seni di Malaysia bukan industri yang stabil selagi kita tak ada undang-undang untuk melindungi pemainnya. Ketika itulah saya terdetik memilih pilihan lain (sambung belajar) untuk merubah kehidupan dan buat keputusan lebih baik.

“Saya boleh terus merungut mengenai kerapuhan gelanggang seni, tapi ia seolah-olah tidak membawa pengakhiran bermakna. Sampai bila pun nak merungut ibarat ia takkan habis. Saya kena buat sesuatu termasuklah menyambung pengajian sarjana selepas menggenggam ijazah.

“Ia keputusan untuk masa depan saya dan anak. Saya harap ia juga dapat jadi contoh dan motivasi untuk anak ke depan nanti,” katanya.

Sekalipun akur dengan resam turun naik dunia seni, minat dan kecintaannya menghidupkan karakter lakonan tak pernah terpadam.

“Saya nikmati apa yang dilakukan selama ini dengan penuh rasa. Seperti mana saya cabar diri untuk sambung belajar selain mengajar, lakonan juga sudah sebati. Saya tak cakap tidak suka berlakon, namun industri itu sendiri sejak jejak bermula tahun 1993 sampai sekarang masih ada sisi ‘hitam’nya.

Vanidah bersama dua rakan baik, Hasif Roslan (kiri), dan Mohd Shukri Mohd Tahir. Foto Ihsan UM

“Anak seni masih bergelut tanya hak atau perkara sama. Namun ibarat tiada siapa ambil peduli. Malah saya dengar daripada pelakon senior pun yang berjuang sekian lama, ia tak memberi apa-apa justifikasi mahupun perubahan. Akhirnya terpaksa menelan semua itu seperti tiada apa-apa berlaku.

“Sebanyak mana pun sayang dan cinta terhadap dunia seni, ada titik anjakan untuk saya buat sesuatu sebagai pilihan iaitu dengan mengutamakan pendidikan untuk perubahan kehidupan dan masa depan saya serta anak,” katanya yang bersemangat berkongsi ilmu dan pengalaman kepada generasi muda (pelajar).

Katanya lagi, kejayaan menamatkan pengajian ini juga lebih kepada kepuasan diri.

“Saya tak cuba buktikan apa-apa atau kepada sesiapa pun. Saya puas kerana suka belajar benda baharu. Matlamat diri sendiri pun bertitik tolak kepada apa yang mahu dicapai dengan mencabar diri keluar daripada zon selesa.

“Anak seni tak kira di depan atau belakang kamera juga sebenarnya ada yang mempunyai tahap pendidikan baik. Tapi sering dilihat seperti tin kosong. Macam ketika terbabit dengan penggambaran drama Kudeta (versi drama untuk filem Daulat) ada antara kru seperti pasukan tatarias sebenarnya berpelajaran tinggi,” katanya yang bercadang untuk melanjutkan ke peringat PhD (Doktor Falsafah) pula.

-BTS Media 

Leave a Comment