GAMBAR ATAS: Elyana kini merupakan bakat MCN baharu WebTVAsia.
Oleh Khadijah Ibrahim
Penderitaan yang ditanggung selama 11 tahun oleh Elyana kerana menghidap penyakit kanser limfoma tahap empat kini sudah berakhir.
Penyanyi Kalis Rindu itu berkongsi berita gembira tersebut dengan para peminat pada Disember lalu, namun dalam tempoh yang sama dia tetap perlu menjalani beberapa sesi rawatan kemoterapi.
Dia yang mula mengatur langkah dalam bidang seni sejak usia 14 tahun, sudah pasti merindui untuk bergiat semula dalam bidang seni yang sudah sebati dengan jiwanya itu.
Rupa-rupanya impian Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 35, itu dipenuhi oleh pihak WebTVAsia WebTVAsia dan Playground Asia dengan mengumumkan bahawa dia adalah artis MCN terbaharu mereka.
Majlis sesi menandatangani kontrak telah berlangsung di pejabat HQ, WebTVAsia bertempat di sebuah hotel baru-baru ini.
Sebagai artis naungan mereka, Elyana bakal meneruskan perjuangannya sebagai bekas pesakit kanser limfoma dengan memberikan inspirasi tentang kehidupan sehariannya melalui projek bersama WebTVAsia.
“Hari ini saya rasa sangat gembira dan bersyukur kerana pihak WebTVAsia memberikan peluang untuk saya berkarya dan merealisasikan impian saya.
“Sebenarnya sudah lama saya ingin aktif dalam YouTube sebab ada terlampau banyak yang saya ingin kongsi kepada peminat saya. Harapan saya untuk projek ini, dapat memberi manfaat bukan untuk diri saya dan ‘team’ sahaja, malah untuk semua yang pernah melalui pengalaman seperti saya.
“Mungkin saya dapat memberi semangat dan inspirasi keceriaan dalam hidup bukan sahaja di Malaysia, malah ke seluruh dunia. Saya percaya, ramai lagi insan di dunia ini yang memerlukan semangat ini untuk meneruskan hidup mereka,” katanya yang mahu berkongsi pengalaman peribadi dengan orang luar.
Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif WebTVAsia, Fred Chong pula kagum dan bangga dengan Elyana kerana berjaya mengharungi segala cabaran sepanjang tempoh tidak sihat.
“Saya amat berbangga dengan kejayaan Elyana selama berbelas tahun berjuang sebagai bekas pesakit kanser limfoma tahap empat. Walaupun Elyana sudah beberapa tahun berehat, saya percaya Elyana masih mampu memeriahkan lagi industri hiburan dan boleh berkongsi inspirasinya ke seluruh pelosok dunia.
“Pihak kami juga percaya Elyana mampu menyuntik semangat dan inspirasi buat ramai lagi insan yang mempunyai nasib yang sama seperti beliau,” katanya.
Tambahnya, WebTVAsia juga turut memainkan peranan penting dalam memartabatkan para creator seluruh Asia.
WebTVAsia merupakan sebuah syarikat hiburan digital yang mempunyai lebih 3,000 saluran YouTube seluruh Asia Tenggara (3 Diamond Button, lebih 100 Gold Button dan lebih 1,000 Silver Button).
Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang perkembangan Elyana dan WebTVAsia, boleh layari laman Facebook dan Instagram Playground Asia.
-BTSMedia