Oleh Ts. Rizman bin Yusam
Bahagian Teknologi Maklumat, Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia
rizman@jpn.gov.my
Pusat Data merupakan fasiliti yang menempatkan segala peralatan ICT yang merangkumi server, storan, peralatan rangkaian dan pelbagai sistem yang menyokong urusniaga utama dan sokongan sesebuah agensi. Kesemua peralatan ICT ini membebaskan haba hasil daripada penggunaan tenaga elektrik yang mana haba ini perlu diturunkan dan dikawal sebaiknya. Peralatan ICT memerlukan aliran udara sejuk yang mencukupi bagi memastikan ianya dapat beroperasi pada tahap optimum dengan penggunaan tenaga yang efisien.
Antara cabaran dalam pengurusan pusat data adalah dalam pengagihan aliran udara yang sekata dan juga bagi memastikan peralatan ICT mendapat aliran udara (airflow) sejuk yang mencukupi. “Efisien” dalam konteks pengurusan aliran udara pusat data membawa maksud setiap unit penyejukan dapat membekalkan udara sejuk yang mencukupi yang diperlukan oleh ICT dan tidak berlaku pembaziran tenaga akibat pembekalan udara penyejukan yang berlebihan.
Konsep utama dalam pengurusan aliran udara (airflow) di dalam pusat data adalah mengurangkan atau mengelakkan percampuran udara panas dan udara sejuk serta mengambil pendekatan untuk menyalurkan aliran udara sejuk hanya kepada sasaran utama iaitu peralatan ICT.
Bagi kebanyakan pusat data yang menggunakan sistem penyejukan secara room based cooling dan tidak mempunyai pengurusan aliran udara yang baik akan menghadapi pelbagai masalah berikut :
- Titik panas (hotspot) berlaku di merata tempat.
- Aliran udara sejuk tidak sekata.
- Server yang berada di kedudukan rak bahagian atas tidak mendapat udara sejuk yang mencukupi.
- Server kerap mengalami peningkatan suhu yang tinggi.
- Bil elektrik yang tinggi
Titik panas atau “hotspot” berlaku apabila berlaku peningkatan suhu pada permukaan server “intake air temperature” melebihi suhu yang dicadangkan oleh ASHRAE (The American Society of Heating, Refrigerating and Air-Conditioning Engineers) bagi persekitaran pusat data iaitu antara 18 hingga 27 darjah Celsius.
Gambar Rajah 1 – Titik panas (Hotspot)
Bagaimanakah masalah di atas boleh di atasi? Beberapa langkah berikut boleh dilakukan oleh agensi bagi meningkatkan efisiensi aliran udara dalam pusat data.
- Susun Atur Rak Server
Kaedah penyusunan rak server memainkan peranan yang amat besar dalam memastikan aliran udara yang efisien. Susunan secara front-to-front / back-to-back mampu memperbaiki tahap efisiensi dengan mengurangkan percampuran udara sejuk dan udara panas dalam persekitaran pusat data.
Gambar Rajah 2 – Cold/Hot Aisle
- Lokasi dan Bilangan Perforated Tiles
Perforated tiles perlu di pastikan hanya berada pada hadapan rak server kerana udara sejuk diperlukan oleh peralatan ICT. Peralatan bukan ICT tidak memerlukan udara sejuk dan ini secara langsung dapat mengurangkan bypass airflow yang tidak sepatutnya berlaku. Bilangan perforated yang berlebihan mampu mengurangkan tekanan static (static pressure) dan secara langsung memberi kesan ke atas tekanan aliran udara sejuk yang naik ke permukaan melalui perforated tiles.
Halangan (Obstruction) Di Bawah Raised Floor
Halangan di bawah raised floor seperti kabel kuasa, kabel rangkaian dan laluan kabel boleh menjadi penyumbang kepada aliran udara sejuk yang tidak efisien. Pastikan semua kabel yang berada di bawah raised floor tersusun rapi dengan pengurusan kabel yang baik tanpa menghalang udara sejuk yang naik melalui perforated tiles.
- Rak Kosong / Ruang Antara Server
Ruang kosong antara server atau pada rak server yang tidak ditutup menggunakan blanking panels menjadi penyumbang utama bypass airflow dan percampuran udara panas dan udara sejuk di dalam pusat data.
Gambar Rajah 3 – Blanking Panels (SEBELUM/SELEPAS)
- Laluan Keluar Kabel
Semua laluan kabel yang keluar dari bawah raised floor ditutup antaranya dengan memasang “brush grommet” bagi mengatasi bypass airflow.
Secara kesimpulannya, pengurusan aliran udara merupakan satu langkah awal yang utama perlu dititik beratkan oleh agensi yang mempunyai pusat data bagi memastikan peralatan ICT mendapat aliran udara sejuk yang mencukupi bagi membolehkan ia berfungsi secara optimum. Selain daripada memastikan peralatan ICT tidak mengalami masalah penyejukan dan menjamin jangka hayat peralatan ICT yang lebih lama, pendekatan ini juga merupakan salah satu langkah awal dalam menyediakan pusat data agensi ke arah kelestarian (sustainable) dan pusat data hijau.
-BTS Media