BTS Media

Pelajar UiTM maut selepas sesak nafas ketika cabaran lasak di Maran

SEORANG pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 21 tahun meninggal dunia selepas mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai acara Mara Lasak dalam Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) di Maran, hari Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata mangsa meninggal dunia pada pukul 2.08 petang hari Sabtu ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.

Menurutnya, mangsa pada awalnya dikejarkan ke Hospital Jengka sebelum dipindahkan ke hospital di Temerloh selepas keadaannya merosot berikutan paras oksigen dalam badan menurun.

Beliau berkata hasil bedah siasat masih menunggu keputusan ujian makmal.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.57 malam Jumaat itu, lapan lagi pelajar, masing-masing empat lelaki dan empat perempuan, turut mengalami kesukaran bernafas sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Jengka.

Wong berkata dua daripada pelajar berkenaan kemudian dimasukkan ke ICU pada hari Sabtu akibat penurunan paras oksigen, namun kedua-duanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Enam lagi pelajar yang menerima rawatan di Hospital Jengka juga berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pemerhatian.

Beliau berkata KKEC Duathlon anjuran UiTM Jengka itu disertai 521 peserta dari kampus UiTM di seluruh negara kecuali Sarawak.

Acara yang bermula 2 September dan dijadualkan berakhir 8 September itu merangkumi larian sejauh lapan kilometer, berbasikal 20 kilometer dan acara Mara Lasak sejauh 10 kilometer.

Wong berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan aktiviti luar yang terlalu lasak susulan keadaan cuaca panas dan berjerebu ketika ini.

-BTSMedia.my

Leave a Comment