SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menitahkan supaya sambutan Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan baginda disambut secara sederhana, dengan beberapa program dikurangkan atau dibatalkan berikutan cabaran ekonomi global.
Baginda bertitah bahawa keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta kesulitan yang dihadapi rakyat, selain hasil perbincangan dengan Majlis Diraja Selangor.
Menurut baginda, sambutan tersebut perlu diadakan secara sederhana dan tidak berlebihan, termasuk dengan mengurangkan beberapa program utama.
Baginda turut menitahkan supaya majlis santapan diraja di Istana Alam Shah, Klang tidak diadakan, manakala pertunjukan bunga api serta penganjuran konsert diraja atau awam dibatalkan.
Titah tersebut disampaikan ketika baginda merasmikan Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor ke-15.
Baginda turut memperkenankan hanya dua atau tiga majlis minum teh di Padang Mahkota, Istana Alam Shah, Klang yang melibatkan kira-kira 8,000 rakyat Selangor.
Menurut baginda, jemputan akan diberikan kepada anak yatim, orang kurang upaya, penjawat awam yang masih berkhidmat dan bersara, selain anggota angkatan tentera, polis dan bomba.
Baginda juga bertitah bahawa satu majlis berasingan akan diadakan untuk wakil syarikat asing yang melabur di Selangor.
Selain itu, acara rasmi di Istana Alam Shah akan dihadkan kepada istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat sempena Jubli Perak.
Sultan Sharafuddin turut menegaskan agar semua perbelanjaan berkaitan sambutan itu diurus secara berhemah, telus dan berintegriti.
Baginda bertitah bahawa penjimatan daripada pengurangan program tersebut hendaklah disalurkan untuk membantu golongan memerlukan dan tidak digunakan bagi tujuan lain.
Dalam masa sama, baginda turut menitahkan agar mana-mana pihak yang ingin menyumbang atau menaja program menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Sultan Selangor atau badan kebajikan lain.
 – BTSMedia.my



