BTS Media

Bayi Tercampak Dari Kereta, Jatuh Atas Rumput Dalam Nahas di Melaka

SEORANG bayi lelaki berusia sebulan terselamat selepas tercampak keluar dari kereta dalam kemalangan di Melaka dan jatuh di kawasan rumput berhampiran.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tenga, Superintendan Halim Abas, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam hari Isnin di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, Balai Panjang, membabitkan dua kenderaan.

Beliau berkata, kereta yang dinaiki bayi terbabit bersama ibu bapanya dipercayai sedang keluar dari sebuah stesen minyak sebelum bertembung dengan sebuah lagi kenderaan.

Menurutnya, bayi itu yang berada di atas riba ibunya di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan ke bahu jalan berumput berhampiran.

Beliau berkata, bayi tersebut mengalami bengkak di kepala, manakala ibunya mengadu sakit belakang dan bapanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka sebelum dibenarkan pulang.

Halim berkata, polis telah mengenal pasti kenderaan satu lagi yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Adhwa Jamal di talian 011-2690 5852.

  – BTSMedia.my

Leave a Comment