SEORANG aktivis dilaporkan melalui detik cemas apabila rumahnya di Taman Kinrara diserang sekumpulan lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang petang semalam.
Mangsa, S. Chandrasegaran, 47, yang lebih dikenali sebagai “Cikgu Chandra”, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika beliau berada di rumah bersama dua anaknya apabila menyedari dua lelaki tidak dikenali membuka pintu pagar.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang memakai topeng hitam dan membawa parang kemudian memecahkan cermin belakang kereta Perodua Viva miliknya serta merosakkan jeriji besi di bahagian hadapan rumah.
Chandrasegaran berkata sebaik menyedari kehadiran mereka, beliau segera menutup pintu hadapan rumah, namun suspek terus mengetuk pintu selama hampir tiga minit.
Menurutnya, ketika kejadian beliau berada di ruang makan sebelum segera menghubungi talian kecemasan 999 kerana bimbang sesuatu yang buruk mungkin berlaku kepada dirinya dan keluarga.
Beliau turut memaklumkan bahawa isterinya berada di tempat kerja ketika kejadian berlaku.
Dalam pada itu, beliau berkata beberapa jiran memaklumkan bahawa kira-kira enam individu dipercayai berada di luar rumah tersebut dengan menaiki dua kenderaan semasa serangan berkenaan.
Chandrasegaran berkata beliau sama sekali tidak menjangka kejadian sedemikian berlaku dan menyifatkannya sebagai jenayah ganas yang jelas menyasarkan dirinya.
Beliau juga memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Bandar Kinrara demi keselamatan dirinya dan keluarganya kerana bimbang sesuatu kejadian tidak diingini mungkin berlaku pada masa hadapan.
Sementara itu, pendakwah bebas Firdaus Wong Wai Hung dilaporkan berkata ketiga-tiga kereta milik Chandrasegaran turut dibakar sekitar jam 3 pagi.
Beliau berkata pihak polis dan bomba bagaimanapun tiba dengan pantas untuk memadamkan kebakaran serta mengawal kawasan tersebut.
Menurutnya, Chandrasegaran menghubunginya sekitar jam 5.30 pagi dan memaklumkan bahawa polis sedang mengawal kawasan sekitar rumahnya serta memastikan keselamatan keluarganya.
Chandrasegaran turut mendakwa bahawa beliau pernah diserang sebelum ini, termasuk dalam kejadian pada Disember 2022 dan Oktober 2024 yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius pada tangan.
–BTSMedia.my



