BTS Media

AS serang, rampas dua kapal tangki bawa minyak dari Venezuela

AMERIKA Syarikat (AS) telah merampas dua kapal tangki yang didakwa berkait dengan eksport minyak Venezuela dalam dua operasi berturut-turut di Atlantik Utara dan Caribbean.

Menurut pihak berkuasa AS, anggota tentera telah menceroboh sebuah kapal tangki “Marinera” yang berdaftar di, selepas memberunya selama hampir dua minggu ketika kapal itu belayar di perairan antara Iceland dan Scotland.

Pihak Tentera Laut British turut terbabit memberikan bantuan kepada AS dalam pencerobohan tersebut.

AS turut mendakwa menceroboh dan merampas kapal tangki, M/T Sophia, di perairan Caribbean.

Langkah itu berlaku ketika AS berusaha menyekat sebahagian besar eksport minyak mentah Venezuela, selain menyusuli tindakan pasukan gerak khasnya yang menahan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro, dalam satu serbuan pantas di Caracas beberapa hari sebelum ini.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkata bahawa sekatan, termasuk sekatan maritim terhadap minyak Venezuela yang disenarai hitam oleh pentadbiran Trump kekal dikuatkuasakan di seluruh dunia.

Rusia mengecam rampasan kapal yang berlayar di bawah benderanya itu dan menuntut supaya warga Rusia di atas kapal dilayan dengan baik serta dibenarkan pulang ke Rusia dengan segera.

Kementerian Pengangkutan Rusia memaklumkan bahawa kapal berkenaan hanya diberi kebenaran sementara untuk menggunakan bendera Rusia, sambil menegaskan tiada negara berhak menggunakan kekerasan terhadap kapal yang berdaftar secara sah di bawah bidang kuasa negara lain.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mendakwa bahawa kepimpinan Venezuela sedang bekerjasama dengan AS berhubung kapal kedua yang dirampas di Caribbean.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini mendakwa Venezuela akan menyerahkan sehingga 50 juta tong minyak bernilai kira-kira AS$2.8 bilion kepada AS.

Rubio turut memaklumkan kepada Kongres AS bahawa minyak tersebut akan dijual di pasaran pada kadar pasaran, dengan hasilnya diagihkan mengikut mekanisme yang didakwa kononnya memberi manfaat kepada rakyat Venezuela.

Namun, isu minyak hanyalah sebahagian daripada kebimbangan Kongres AS mengenai konflik yang semakin memuncak. Ketua Majoriti Senat, Chuck Schumer, dilaporkan menuntut penjelasan mengenai jumlah tentera AS yang mungkin terlibat serta kos kewangan operasi tersebut.

Walaupun kebanyakan ahli Republikan menyokong tindakan pentadbiran Trump, sebahagian daripada mereka menyuarakan kebimbangan mengenai peranan Kongres. Senat dijangka mengundi minggu hadapan mengenai resolusi kuasa perang dwipartisan bagi mengehadkan penglibatan ketenteraan AS di Venezuela tanpa kelulusan Kongres.

China, sebagai pembeli terbesar minyak Venezuela sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mengecam tindakan AS dan menuduhnya mengancam keselamatan global.

Rampasan dua kapal tangki itu diumumkan oleh tentera AS menerusi kenyataan berasingan di media sosial. Pusat Pemerintah AS di Eropah memaklumkan bahawa kapal yang dikenali sebagai M/V Bella 1, nama lama Marinera, telah serang kerana didakwa melanggar sekatan AS berdasarkan waran mahkamah persekutuan.

Kementerian Pertahanan UK pula mengesahkan bahawa pesawat pengawasan RAF dan kapal sokongan RFA Tideforce terlibat dalam operasi tersebut atas permintaan AS.

Pihak berkuasa AS turut menyatakan bahawa M/T Sophia, yang beroperasi di perairan antarabangsa Caribbean, telah ditahan tanpa insiden dan telah diiringi ke AS untuk tindakan lanjut.

-BTSMedia.my

Leave a Comment