PAS menyuarakan kebimbangan terhadap rombakan Kabinet baru-baru ini, termasuk pelantikan beberapa pemimpin ke kementerian strategik.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata bahawa pelantikan Hannah Yeoh dan Lo Su Fui masing-masing sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, serta pengekalan pemimpin DAP dalam portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pengangkutan, menimbulkan persoalan serius.
Beliau menjelaskan bahawa Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak boleh dianggap sebagai wilayah atau portfolio biasa kerana kawasan tersebut merupakan nadi kepada politik dan pentadbiran negara.
Menurutnya, pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di bawah kepimpinan daripada satu parti dan etnik tertentu boleh menimbulkan persoalan besar yang sah dan tidak dapat dielakkan berkaitan ketidakseimbangan, pemusatan kuasa yang berlebihan serta hala tuju sebenar tadbir urus negara.
Takiyuddin berkata kebimbangan terhadap tanggapan meluas bahawa pelantikan berkenaan bukan dibuat berdasarkan merit atau keperluan dasar, sebaliknya hasil tekanan dan rundingan politik.
Beliau berkata PAS mengambil maklum spekulasi bahawa perkembangan tersebut berkait rapat dengan tuntutan politik oleh DAP, termasuk ancaman untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya beberapa tuntutan parti itu, seperti pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina, tidak dipenuhi.
Menurut beliau lagi, sekiranya jawatan Kabinet digunakan sebagai ‘bunga emas’ politik bagi balasan sokongan dan kesetiaan mana-mana parti, keadaan itu jelas mencerminkan hakisan serius terhadap prinsip kerajaan berteraskan integriti, sekali gus melemahkan proses pembentukan dan perangkaan dasar negara.
Beliau turut berpandangan bahawa keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan mendalam kerana ia dilihat sebagai usaha terancang untuk mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain, sekali gus membolehkan satu parti membentuk dasar bandar, guna tanah, perumahan dan kerajaan tempatan tanpa mekanisme semak dan imbang yang berkesan serta telus.
Tambahnya, pemusatan kuasa sedemikian berpotensi mencetuskan keresahan awam yang serius, lebih-lebih lagi dengan kewujudan inisiatif perundangan kontroversi seperti cadangan Akta Pembaharuan Bandar (URA), yang dilihat berisiko meminggirkan kumpulan tertentu penduduk bandar, khususnya orang Melayu dan golongan berpendapatan rendah, termasuk kemungkinan kehilangan hak milik hartanah.
Takiyuddin berkata pendekatan pentadbiran yang dilihat mengutamakan kepentingan politik dan golongan elit bandar, sambil mengabaikan kepentingan serta sentimen sah rakyat akar umbi, hanya akan melebarkan jurang antara kelompok masyarakat serta antara wilayah dan lokaliti.
Menurut beliau, keadaan itu seterusnya akan menyumbang kepada hakisan perpaduan nasional.
Beliau menegaskan bahawa tanpa justifikasi yang meyakinkan, rombakan Kabinet dan pelantikan yang dibuat hanya akan mengukuhkan tanggapan bahawa jawatan Kabinet diagihkan berdasarkan selera dan kehendak politik, bukannya demi kepentingan rakyat dan negara.
Takiyuddin turut mengingatkan bahawa kepimpinan bukan sekadar usaha menyusun bilangan sokongan untuk mengekalkan kuasa, sebaliknya satu amanah yang menuntut kebijaksanaan, kepercayaan dan tanggungjawab.
Beliau menambah bahawa rombakan Kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan, bukan menimbulkan keraguan; menyembuhkan luka, bukan menambah perpecahan; merapatkan jurang, bukan memperdalamkan perbezaan; serta menampal kebocoran, bukan menebuk dasar.
Menurutnya lagi, rombakan tersebut juga perlu mencerminkan kepelbagaian masyarakat Malaysia melalui perwakilan yang adil dan berkesan, serta pelantikan yang berasaskan merit, kematangan dan wawasan.
-BTSMedia.my



