BTS Media

Kejam: Anjing, kucing ditemui mati reput dalam klinik veterinar terbiar di Damansara Damai

KEMARAHAN orang ramai tercetus di media sosial selepas gambar serta video mendedahkan penemuan seekor anjing dan beberapa ekor kucing mati dalam keadaan reput di dalam sebuah klinik veterinar yang telah lama terbiar di Damansara Damai, Selangor.

Pendedahan tersebut dibuat oleh aktivis haiwan, Shima Aris, menerusi post di Instagram memaparkan keadaan premis berkenaan yang amat menyedihkan.

Klinik itu berada dalam keadaan berselerak dan kotor, dengan peralatan ditinggalkan tanpa diurus, sangkar-sangkar rosak bersama sampah, serta najis haiwan bertaburan di beberapa ruang ketika usaha menyelamat dijalankan.

Dalam kejadian itu, bangkai seekor anjing dan seekor kucing ditemui dalam sangkar, sudah mula mereput, dengan kepala haiwan-haiwan tersebut tersepit di celah palang besi sangkar yang bengkok, dipercayai akibat cubaan terdesak untuk melepaskan diri. Turut ditemui, seekor kucing yang masih hidup tetapi berada dalam keadaan trauma, tidak terurus dan lemah, sebelum berjaya diselamatkan.

Shima merayu orang ramai agar segera membuat laporan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), sambil menegaskan bahawa penemuan itu melibatkan sebuah klinik veterinar yang ditinggalkan terbuka dan dipenuhi kekotoran, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai tanggungjawab profesional.

Menurutnya, dua orang doktor veterinar yang bersama pasukan penyelamat mengesahkan bahawa haiwan-haiwan yang mati itu dipercayai telah dibiarkan tanpa penjagaan antara tujuh hingga 10 hari. Beliau turut memaklumkan bahawa hanya seekor kucing berjaya diselamatkan hidup-hidup, namun menegaskan bahawa keadilan tetap perlu ditegakkan buat haiwan-haiwan yang telah mati dalam penderitaan.

Yayasan kebajikan haiwan Stray Free Foundation yang turut berkongsi post tersebut berkata bahawa kejadian berkenaan telah menimbulkan kebimbangan serius berkaitan kebajikan haiwan, tanggungjawab profesional serta kecuaian, sekali gus mencetuskan desakan supaya siasatan menyeluruh dijalankan dan pihak bertanggungjawab diambil tindakan.

Shima memaklumkan kepada media bahawa klinik berkenaan dipercayai telah ditutup kira-kira tiga bulan lalu. Sebanyak 14 ekor kucing dan seekor anjing ditinggalkan di dalam premis tersebut.

Beliau mendakwa hanya 12 ekor kucing dipindahkan keluar, manakala dua ekor kucing dan seekor anjing dibiarkan. Bekas kakitangan klinik juga didakwa memaklumkan bahawa haiwan-haiwan itu hanya diberi makan sekali seminggu dan telah lama tidak mendapat rawatan sebelum ditemui.

Menurut beliau, kucing yang terselamat kini sedang menerima rawatan di sebuah klinik veterinar lain. Beliau turut memaklumkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh individu yang mula-mula menemui klinik itu pada hari Sabtu lalu, namun setakat ini belum ada tindakan susulan. Bangkai haiwan juga masih dibiarkan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap bahan bukti.

Shima menyatakan hasrat untuk terus membuat susulan dengan pihak polis dan DVS, memandangkan terdapat kebimbangan bahawa premis berkenaan mungkin akan dibersihkan oleh pemilik sebelum siasatan dijalankan.

Susulan seruan yang dibuat di media sosial, orang ramai membanjiri ruang komen dengan luahan sedih, marah dan sokongan, selain memaklumkan bahawa laporan telah dibuat kepada DVS. Ramai menyifatkan kejadian itu sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan, dengan sebahagian netizen menyuarakan rasa tidak percaya bagaimana penderitaan haiwan-haiwan itu tidak disedari oleh sesiapa di sekitar kawasan berkenaan.

Pihak DVS telah dihubungi untuk mendapatkan maklum balas berhubung kejadian tersebut.

-BTSMedia.my

Leave a Comment