BTS Media

Sifat pemurah dan iman jadi pendorong wira Bondi bertindak ketika serangan

SEORANG pemilik kedai di Sydney yang cedera dalam pergelutan untuk merampas senjata seorang penyerang dalam kejadian tembakan di Bondi, Sydney, pada hari Ahad menzahirkan penghargaan kepada orang ramai serta memohon doa dalam menjalani rawatan di hospital.

Ahmed Al Ahmed, pemilik sebuah kedai tembakau dan kedai serbaneka, dirakam dalam video dramatik ketika dengan berani berdepan dan melucutkan senjata salah seorang penyerang selepas dia kehabisan peluru.

Dalam satu rakaman video ketika ditolak di atas katil beroda di hospital, Ahmed mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan, lapor media Australia.

Beliau turut mendoakan agar semua diberikan ganjaran dan kesejahteraan, selain memaklumkan bahawa ketika ini beliau sedang melalui detik sukar yang hanya diketahui oleh Allah. Ahmed juga memohon ibunya supaya mendoakan kesembuhannya.

Walaupun mengalami kecederaan parah, Ahmed berkata beliau tidak menyesal bertindak semasa berlaku serangan tersebut, yang mengakibatkan ramai mangsa terkorban dan cedera.

Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh manakala 40 lagi cedera. Mangsa-mangsa terdiri daripada ratusan individu yang berkumpul bagi acara Chanukah by the Sea sempena permulaan perayaan Hanukkah selama lapan hari.

Penyerang merupakan seorang bapa dan anak lelakinya. Si bapa disahkan maut, manakala anaknya berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Peguam imigresen, Sam Issa, berkata kecederaan yang dialami Ahmed yang disanjung sebagai “hero” itu lebih serius daripada jangkaan awal, kerana terdapat lima kesan tembakan pada lengan kiri, termasuk satu yang menembusi bahagian belakang tulang belikat. Ahmed kehilangan banyak darah dan keadaannya membimbangkan, kerana dia berisiko kehilangan fungsi lengan.

Issa turut menggambarkan Ahmed sebagai seorang yang rendah diri dan bertindak atas dasar hati nurani, sambil menjelaskan tindakan itu bukan untuk meraih pujian atau pengiktirafan, sebaliknya sebagai tanda penghargaan kepada Australia yang telah memberinya kewarganegaraan.

Reaksi awam turut dizahirkan di media sosial, dengan seorang pengguna Facebook menyatakan tindakan Ahmed telah menghalang lebih ramai orang daripada ditembak serta membantu mengelakkan kekacauan awam dan kemungkinan rusuhan, sekali gus menyelamatkan nyawa dan menenangkan komuniti. Seorang lagi pengguna pula menyampaikan kata-kata semangat dan keyakinan terhadap ketabahan Ahmed supaya pulih.

Dalam pada itu, sebuah perniagaan di Sutherland Shire, Sydney menafikan maklumat tidak tepat yang tular dalam talian kononnya Ahmed penjual buah yang dikaitkan dengan premis mereka.

Sokongan awam terus diterima, dengan tabung derma yang ditubuhkan untuk membantu Ahmed dan keluarganya berjaya mengumpul kira-kira $1.6 juta (RM6,541,600.00) daripada lebih 25,000 penderma setakat semalam.

Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns, adalah antarayang melawat Ahmed di hospital. Beliau menyifatkannya sebagai wira sebenar yang tanpa berlengah, telah menyelamatkan banyak nyawa walaupun berdepan risiko besar.

Bapa Ahmed, Mohamed Fateh Al Ahmed, memberitahu media Australia bahawa anaknya berada di Bondi untuk minum kopi bersama seorang rakan ketika berlaku tembakan. Melihat ramai mangsa yang cedera, Ahmed secara spontan bertindak menyerbu ke arah seorang daripada penyerang demi untuk melindungi orang lain.

-BTSMedia.my

Leave a Comment