BTS Media

Vigneswaran dakwa Zahid terdesak mahu MIC segera tentukan pendirian

PRESIDEN MIC, SA Vigneswaran menempelak kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi, yang mengingatkan MIC supaya tidak menyesal sekiranya meninggalkan gabungan itu.

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini, bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata bahawa MIC tidak terdesak untuk membuat sebarang keputusan, sebaliknya beliau melihat Zahid lebih ghairah agar MIC segera menentukan pendirian politiknya.

Menurutnya, MIC telah pun mempunyai ketetapan berdasarkan keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang kini sedang dibincangkan di peringkat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Beliau menegaskan bahawa MIC mahu diberikan ruang untuk membuat keputusan secara bebas tanpa tekanan, khususnya dalam suasana politik yang disifatkan masih belum stabil.

Vigneswaran berkata MIC mengambil maklum amaran yang disampaikan oleh Zahid dan akan membuat keputusan dalam masa terdekat sebelum memaklumkannya kepada kepimpinan tertinggi BN secara rasmi melalui surat.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada ucapan Zahid, yang juga Presiden Umno, bahawa mana-mana parti yang meninggalkan BN akan menyesal kerana landskap politik sentiasa berubah.

Zahid sebelum itu turut menyindir sebuah parti yang didakwa kerap berubah pendirian, selain mendakwa ada permohonan untuk kembali menyertai Perikatan Nasional (PN), tanpa menamakan parti mana.

Dalam perkembangan berkaitan, Vigneswaran mencadangkan supaya BN mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi sekiranya gabungan itu benar-benar berhasrat membawa masuk parti-parti yang dianggap mesra BN.

Beliau berkata MIC tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap langkah tersebut, malah bersedia menyokong penyertaan parti-parti kecil berasaskan kaum dan komuniti.

Namun begitu, beliau mengulangi pendirian bahawa MIC bukannya terdesak, sebaliknya melihat terdapat pihak tertentu yang tergesa-gesa mahu membuat keputusan.

Antara parti yang dilihat mesra BN termasuk IPF, Kimma, Makkal Sakthi, Parti Punjabi Malaysia, PCM, MAP, Ikatan dan MIUP.

Ketika ini, MIC sedang menilai kemungkinan untuk keluar daripada BN kerana rasa tidak puas hati dengan kedudukan politik parti itu, khususnya selepas Umno di bawah kepimpinan Zahid berkerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

-BTSMedia.my

Selain MIC, MCA turut dilaporkan bimbang mengenai isu pembahagian kerusi pilihan raya yang disifatkan lebih memihak kepada parti penyandang. Di bawah formula pembahagian kerusi BN–PH, MCA dan MIC dijangka hanya memperoleh jumlah kerusi yang terhad untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

-BTSMedia.my

Leave a Comment