BTS Media

SPRM perlu siasat Shamsul Iskandar berhubung dakwaan pembiayaan kontroversi- PN

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Akin, susulan beberapa dakwaan yang timbul terhadap beliau.

Menurut ketua whip PN, Takiyuddin Hassan, pihaknya merujuk kepada surat sokongan Shamsul untuk beberapa kontraktor terlibat dalam projek hospital serta dakwaan bahawa ketua PKR Melaka itu menerima lebih RM600,000 daripada ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei, yang dikaitkan dengan skandal perlombongan Sabah.

Beliau berkata ahli-ahli Parlimen PN mahu SPRM segera membuka siasatan kerana isu tersebut melibatkan bekas pegawai kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan kegagalan bertindak dikhuatiri boleh menjejaskan komitmen kerajaan dalam usaha memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan politik wang.

Takiyuddin, yang juga setiausaha agung PAS, turut menggesa semua pihak berkaitan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, sambil menegaskan bahawa sebarang kesalahan wajar dikenakan tindakan undang-undang secara adil.

PN turut menegaskan komitmen erhadap prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban, integriti dan kedaulatan undang-undang.

Shamsul sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai setiausaha politik kanan perdana menteri, dengan alasan wujud percubaan untuk menyerangnya melalui kontroversi yang didakwa boleh menjejaskan imej kerajaan.

Beliau sebelum itu menerima kecaman kerana mengeluarkan surat sokongan bagi projek hospital, tindakan yang turut mendapat teguran daripada Anwar kerana peraturan kerajaan tidak membenarkan pengeluaran surat sedemikian.

Susulan pengumuman peletakan jawatan Shamsul, muncul pula berita bahawa Tei mendakwa bahawa beliau membelanjakan RM629,000 bagi pihak Shamsul, termasuk untuk pengubahsuaian beberapa hartanah yang dikaitkan dengannya, selain cerut premium dan sut khas.

Tei sebelum ini didakwa pada bulan Jun atas dua pertuduhan memberi rasuah kepada dua bekas Adun berkaitan skandal perlombongan Sabah. Bekas Adun Tanjung Batu, Andi Suryady Bandy, dan bekas Adun Sindumin, Dr Yusof Yacob, masing-masing didakwa menerima RM150,000 dan RM200,000.

-BTSMedia.my

Leave a Comment