JABATAN Perikanan Kedah mengesahkan bahawa ubur-ubur kotak dikesan berada di perairan Langkawi.
Bagaimana pun, pengarahnya, Sukri Deris berkata kemunculan spesies berbahaya itu pada tahun ini berada pada paras sederhana dan belum menjejaskan aktiviti rekreasi secara keseluruhan.
Walaupun bilangan tidak tinggi, namun kewujudannya tetap menimbulkan risiko kepada aktiviti laut, termasuk kegiatan rekreasi serta operasi perikanan komersial.
Sukri menjelaskan bahawa spesies tersebut lazimnya ditemui di perairan dari Australia hingga Asia Tenggara, dan fasa peralihan monsun mungkin membawanya masuk ke perairan Langkawi.
Beliau berkata perubahan pola arus laut boleh menolak ubur-ubur kotak lebih dekat ke pantai, manakala aliran air dari daratan akibat hujan lebat membawa nutrien ke laut dan berpotensi menarik spesies itu ke kawasan pesisir.
Keadaan ini boleh menggalakkan kehadiran ubur-ubur kotak berhampiran pantai apabila sumber makanan bertambah.
Jabatan Perikanan akan meneruskan pemantauan dan bekerjasama dengan Jawatankuasa Bencana Daerah sekiranya tindakan lebih menyeluruh diperlukan.
 – BTSMedia.my



