SETIAUSAHA Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengkritik Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang baru ditandatangani antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Beliau berkata, ia mengancam kebebasan ekonomi dan pendirian berkecuali negara.
Dalam satu kenyataan, Azmin berkata perjanjian itu bukanlah benar-benar bersifat timbal balik, sebaliknya menyebabkan Malaysia menyerahkan terlalu banyak kawalan terhadap ekonominya, manakala Amerika Syarikat mengekalkan kebebasan penuh untuk melindungi kepentingan sendiri.
Beliau juga berkata perjanjian itu menghadkan hak Malaysia untuk menentukan dasar perdagangan, pelaburan dan peraturannya sendiri, sambil menyifatkannya sebagai kehilangan kedaulatan ekonomi yang disamarkan sebagai kerjasama.
Azmin juga mendakwa Artikel 5.1 dalam perjanjian tersebut mewajibkan Malaysia mematuhi sekatan perdagangan atau larangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat terhadap negara lain, dan memberi amaran bahawa ia boleh memaksa Malaysia memilih pihak dalam konflik antarabangsa serta menjejaskan dasar berkecuali yang telah lama menjadi kekuatan negara.
Menurut Azmin, ART akan memaksa agensi tempatan mengguna pakai piawaian Amerika dalam bidang makanan, ubat-ubatan dan kenderaan, selain melemahkan sistem pensijilan halal Malaysia serta mengehadkan kuasa kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas syarikat teknologi asing atau mewajibkan penyimpanan data secara tempatan.
Menurutnya, manfaat jangka pendek daripada perjanjian itu tidak sepadan dengan risiko jangka panjang yang bakal ditanggung, sambil menegaskan pelaksanaannya hanya akan menandakan penyerahan kedaulatan, pendirian berkecuali dan masa depan ekonomi negara.
 – BTSMedia. my



