KERAJAAN akan mengekalkan harga pasaran petrol RON95 pada RM2.60 seliter sepanjang bulan Oktober.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan memberitahu pemberita selepas merasmikan Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam 2025 di Kuala Lumpur hari ini bahawa harga tersebut akan ditetapkan selama sebulan bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk menyesuaikan diri dengan mekanisme subsidi baharu Budi Madani RON95 (BUDI295).
Menurut beliau, penetapan harga yang stabil itu bertujuan untuk memberi keselesaan kepada semua pihak sebelum ia diapungkan mengikut harga pasaran global.
Amir Hamzah berkata, selepas tempoh sebulan itu, harga bahan api akan dilaraskan secara mingguan di bawah Mekanisme Penetapan Harga Automatik (APM), sama seperti sistem sedia ada untuk diesel.
Jelas beliau, pendekatan ini akan mencerminkan pergerakan pasaran global, memandangkan Malaysia mendapatkan bekalan bahan apinya dari pasaran antarabangsa.
Memberi contoh penarikan subsidi pukal diesel pada tahun lalu, beliau berkata, ketika harga runcit awal ditetapkan pada RM3.35 seliter, ia kemudiannya telah menurun kepada kira-kira RM2.93, sejajar dengan kejatuhan harga minyak global.
-BTSmedia.my