BTS Media

Tiga lelaki dipenjara tujuh tahun, denda RM250,000 kerana miliki bangkai harimau

GAMBAR: NSTP

TIGA lelaki, termasuk dua beradik, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bangkai seekor harimau Malaya betina tanpa permit khas.

Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Shaheezam Md Salim, 49; Nazerin Tomiran, 47; dan adiknya, Mohamad Nazrol Tomiran, 28. Ketiga-tiga mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka.

Kesemua mereka didakwa bersama menyimpan bangkai harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) di belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Harimau Malaya diklasifikasikan sebagai spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), justeru menjadikan pemilikan haiwan itu tanpa permit khas satu kesalahan serius.

-BTS Media

Leave a Comment