GAMBAR: NYT.
PENGGUNA rangkaian “Tube” (tren bawah tanah) di London mencetuskan kekecohan apabila mogok pekerjanya memasuki hari kedua (Selasa 9 Sept).
Ia memaksa ribuan pengguna mencari pengangkutan lain dan mengakibatkan kesesakan besar di seluruh bandar raya itu.
Memandangkan sebahagian besar “London Tube” tidak beroperasi sehingga hari Jumaat, penduduk London terpaksa beralih kepada e-basikal, berkongsi kereta, bas, dan perkhidmatan bot sungai untuk pergi ke tempat kerja.
Peralihan besar dalam corak pengguna ini mengakibatkan jalan raya sesak, bas padat, dan masa perjalanan lebih lama.
Kesan ekonomi akibat penghentian operasi ini dijangka sangat besar.
Pusat Ekonomi dan Penyelidikan Perniagaan yang berpusat di London menganggarkan impak langsung sebanyak £230 juta (AS$310 juta) terhadap ekonomi bandaraya itu, dengan jutaan lagi dalam kos tidak langsung yang dijangkakan.
Penyedia pengangkutan alternatif melaporkan peningkatan permintaan.
Pengendali e-basikal Lime berkata jumlah perjalanan meningkat sebanyak 58% semasa waktu puncak hari Isnin berbanding minggu sebelumnya.
Jurucakap syarikat itu berkata, dengan pertambahan jarak dan tempoh perjalanan, ramai pengguna bergantung pada basikal elektrik syarikat tersebut untuk keseluruhan perjalanan mereka dan bukan hanya untuk jarak pertama atau terakhir.
Begitu juga, syarikat pesaing, Forest, yang mengendalikan 15,000 e-basikal. Mereka melaporkan jumlah perjalanan meningkat 100% semasa waktu sibuk pagi dan menjangkakan lebih 60,000 pengguna aktif sepanjang hari – lebih dua kali ganda dari biasa pada hari Isnin.
Di Sungai Thames, Uber Boat yang dikendalikan oleh Thames Clippers mengesahkan perkhidmatan mereka “lebih sibuk daripada biasa,” hingga memaksa penambahan perjalanan, termasuk perkhidmatan ulang-alik khas antara pusat-pusat utama, seperti Canary Wharf dan London Bridge untuk menampung penumpang yang ramai.
Tindakan industri dianjurkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Rel, Maritim dan Pengangkutan (RMT) yang mewakili pekerja dalam sektor pengangkutan ini, adalah berpunca daripada isu berterusan mengenai gaji, pengurusan pekerja, dan corak syif. Walaupun pihak berkuasa telah menawarkan kenaikan gaji 3.4 peratus, namun kesatuan mendesak supaya waktu bekerja dipendekkan.
Kerajaan Perdana Menteri Keir Starmer, yang dipilih pada bulan Julai lalu melalui platform populis menjanjikan penyelesaian, menyeru agar krisis ini ditangani segera. Bagaimana punm rundingan masih buntu, dan penduduk London berdepan kemungkinan beberapa hari lagi gangguan perjalanan yang teruk.
-BTS Media