SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat tender Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bernilai RM58.45 juta bagi meneliti ketidakpatuhan perolehan dan kelemahan prosedur.
Pengarah Bahagian Siasatan Tadbir Urus SPRM, Mohd Zaki Hassan, memaklumkan bahawa siasatan itu adalah untuk menentukan sama ada wujud kecuaian seperti yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan pada 21 Julai.
Menurut laporan itu, tiga daripada tujuh tender perolehan UKM melibatkan nilai RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Siasatan mendapati Jawatankuasa Perolehan Tender UKM telah memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan atau Jawatankuasa Pra-Tender.
Laporan itu turut menyatakan kegagalan UKM melantik wakil Kementerian Kewangan dalam jawatankuasa perolehan, selain wakil Kementerian Pendidikan Tinggi yang dilantik didapati tidak menghadiri mesyuarat berkaitan tiga tender tersebut.
Pada bulan November lalu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Zainul Darus, memaklumkan bahawa lima individu telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung perkara itu.
Sementara itu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaku Canselor UKM, dilaporkan telah mengambil maklum isu salah laku perolehan berkenaan dan menyatakan baginda menerima aduan berkaitan perolehan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, serta menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.
-BTSMedia.my



