PENGENDALI Starbucks di Malaysia Berjaya Food Bhd, berkata kerugian bersihnya meningkat lebih tiga kali ganda hingga mencecah 292 juta ringgit untuk tahun kewangan yang berakhir pada bulan Jun.
Kemerosotan ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh boikot pelanggan berkaitan konflik Gaza.
Hasil syarikat juga jatuh sebanyak 36% tahun ke tahun kepada 477 juta ringgit, lapor Bloomberg.
Dalam laporan kewangannya, syarikat itu berkata keputusan tersebut adalah akibat daripada “impak berpanjangan sentimen berterusan berkaitan dengan konflik Timur Tengah,” yang telah menjejaskan dinamik pasaran dan trend perbelanjaan pengguna.
Syarikat itu berkata, kemerosotan kewangan ini memerlukan peruntukan rosot nilai yang besar, sebanyak 152.8 juta ringgit bagi harta tanah, loji, dan peralatan, serta aset hak guna, yang berpunca daripada pengecilan operasi di negara ini.
Laporan Berjaya Food juga mencatatkan rosot nilai, yang meningkat hampir enam kali ganda.
Boikot yang diperhebatkan terhadap beberapa jenama makanan segera AS sejak tahun lalu adalah kerana isu hubungan dengan Israel.
-BTS Media