BTS Media

Negara Arab dan barat seru Hamas letak senjata dan serah Gaza

BUAt pertama kali, beberapa negara Arab, termasuk Qatar, Arab Saudi dan Mesir, bersama 14 negara lain termasuk Britain dan Perancis, secara jelas menuntut agar Hamas meletakkan senjata segera dan menyerahkan Gaza.

Deklarasi yang dikeluarkan pada hari Selasa selepas persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini, turut mengutuk sekeras-kerasnya serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober 2023.

Menurut kenyataan bersama itu, Hamas mesti menamatkan pemerintahannya di Gaza dan menyerahkan wilayah itu kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Langkah ini, dengan penglibatan dan sokongan antarabangsa, dikatakan selaras dengan matlamat penubuhan Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyifatkan deklarasi ini sebagai “bersejarah dan tidak pernah berlaku sebelum ini.”

Beliau menekankan bahawa ini adalah kali pertama negara-negara Arab dan Timur Tengah mengutuk Hamas, dan serangan 7 Oktober, serta menyeru kumpulan pejuang itu meletakkan senjata.

Barrot turut menyorot niat jelas negara-negara tersebut untuk menormalkan hubungan dengan Israel pada masa hadapan.

Setiausaha Luar United Kingdom, David Lammy, yang menyokong kenyataan tersebut di Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menegaskan bahawa Hamas tidak seharusnya “diberi ganjaran” atas serangan “kejam” pada 7 Oktober.

Beliau mendesak kumpulan itu supaya segera membebaskan tebusan, bersetuju dengan gencatan senjata serta-merta, menerima hakikat bahawa ia tidak akan berperanan dalam mentadbir Gaza, dan komited untuk melucutkan senjata.

Kenyataan Lammy ini menyusuli pendirian Ketua Pembangkang UK, Keir Starmer, yang sebelum ini berkata bahawa Britain akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara melainkan Israel memenuhi syarat-syarat tertentu, termasuk menamatkan keadaan “mengerikan” di Gaza.

Starmer, bagaimanapun, menarik kenyataan itu setelah dikecam oleh Amerika Syarikat, Israel, dan beberapa kumpulan Yahudi.

Selain itu, negara-negara Arab yang menandatangani deklarasi tersebut turut menuntut pembebasan segera semua tebusan Israel yang masih ditahan.

Teks deklarasi itu menekankan bahawa hubungan normal dan kewujudan bersama di rantau itu hanya dapat dicapai melalui penamatan perang di Gaza, pembebasan semua tebusan, penamatan penjajahan, penolakan keganasan, pembentukan Negara Palestin yang merdeka, berdaulat, dan demokratik, penamatan pendudukan semua wilayah Arab, serta jaminan keselamatan yang kukuh untuk Israel dan Palestin.

Deklarasi yang turut ditandatangani oleh Kanada dan negara-negara Barat lain ini, menyokong penyelesaian dua negara dan penempatan pasukan antarabangsa sementara di Gaza selepas perang berakhir.

Misi penstabilan antarabangsa itu dicadangkan atas jemputan Pihak Berkuasa Palestin dan di bawah naungan PBB, dengan mandat Majlis Keselamatan PBB dan sokongan serantau serta antarabangsa yang sewajarnya.

Kenyataan itu juga menyeru Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan pemimpin-pemimpin Israel lain supaya “memberi komitmen jelas kepada penyelesaian dua negara,” termasuk Negara Palestin yang berdaulat dan berdaya maju.

Israel dan Amerika Syarikat tidak menghadiri persidangan tersebut dan tidak menandatangani deklarasi itu.

Terdahulu pada bulan ini, sumber Hamas memberitahu media Saudi bahawa kumpulan itu akan mempertimbang untuk meletakkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dengan Israel.

Minggu lalu, Presiden Perancis Emmanuel Macron mengumumkan bahawa negaranya akan mengiktiraf kenegaraan Palestin.

Meskipun kebanyakan negara anggota PBB menyokong penyelesaian dua negara sejak beberapa dekad, namun Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, pada hari Isnin berkata “penyelesaian dua negara masih jauh untuk dicapai.”

-BTS Media

Leave a Comment