IBU Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen polis memaksanya mengaku membunuh anak lelaki autistik semasa siasatan berhubung kematian kanak-kanak itu, tahun lalu.
Ismanira Abdul Manaf, 30, berkata dia ‘ditekan’ supaya mengaku bersalah ketika dibawa ke hadapan majistret bagi permohonan reman.
Ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya, Haresh Mahadevan, Ismanira mendakwa pegawai berkenaan memaksanya membuat pengakuan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
“Saya beritahu majistret saya tidak rela berada di hadapannya. Polis memaksa dan mengugut saya mengaku melakukan pembunuhan.
“Majistret merekodkan pengakuan tidak bersalah,” katanya di mahkamah.
Dia turut mendakwa sepanjang tempoh reman 13 hari, polis tidak berpuas hati dengan jawapannya walaupun memberikan kerjasama penuh.
“Mereka menuduh saya dan mengarang cerita perkara saya tidak lakukan. Mereka (polis) reka cerita yang saya sebenarnya telah menjumpai anak saya lalu saya membunuh anak saya sendiri.
“Apabila saya menafikan, mereka tetap tidak puas hati.”
Ismanira mendakwa, dia dipukul dan diugut oleh pegawai tidak berpuas hati dengan penafiannya semasa sesi soal siasat, yang didakwa berlaku di ‘safe house’.
Dia turut mendakwa walaupun ada pegawai menekannya membuat pengakuan, ada juga pegawai lain bersimpati.
“Mereka yang bersimpati kepada saya pula minta saya bersabar dan lawan jika perkara itu tidak benar. Bertahan sampai habis reman,” katanya.
Semalam, Ismanira diperintahkan membela diri, manakala suaminya Zaim Ikhwan Zahari, dibebaskan daripada pertuduhan sama.
Sebelum ini, Ismanira dan Zaim didakwa tahun lalu atas pertuduhan mengabaikan Zayn dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di PJU Damansara Damai antara tengah hari pada 5 Dis 2023 – iaitu ketika kanak-kanak itu dilapor hilang – dan 9.55 malam keesokan harinya, apabila mayatnya ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya, di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Pasangan tersebut turut diwakili peguam Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, dan Nur Sabrina Zubairi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung.