POLIS telah membuka tiga kertas siasatan dan menahan seorang lelaki yang disyaki pemilik salah satu daripada tiga buah kereta yang menghalang laluan di Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Hentian Sebelah Pedas Linggi, Negeri Sembilan.
Kejadian tersebut tular dalam rakaman video sejak semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Hasani Hussain, suspek berusia 50-an itu ditahan di sekitar Seremban kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.
Beliau berkata polis sedang memburu suspek lain yang masih bebas.
Siasatan awal mendapati suspek adalah ejen tarik kereta dan mereka dipercayai menahan trafik di Lebuh raya itu kerana ingin menarik sebuah kereta.
Kes disiasat mengikut tiga seksyen undang-undang. Pertama, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara cuai atau melulu sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya. Jika sabit kesalahan, ia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya.
Kedua, kes turut disiasat di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan kerana menghalang laluan orang awam. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu bulan atau denda maksimum RM1,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, polis juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mengendalikan kenderaan dengan cara menyusahkan pengguna jalan raya. Di bawah seksyen ini, jika sabit kesalahan, boleh dihukum denda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000, serta boleh digantung lesen memandu sehingga 12 bulan.
Hasani menegaskan bahawa pihak polis memandang serius sebarang tindakan yang mengganggu kelancaran trafik.
Beliau berkata bahawa tindakan sedemikian mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain, terutamanya di lebuh raya yang mempunyai aliran trafik berkelajuan tinggi.
Tambahnya, tindakan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi menyebabkan kemalangan maut.
Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak, di talian 010-5825384; Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim, di talian 019-7992519; atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau di talian 06-6851999.
-BTS Media