GAMBAR: Harian Metro
SEORANG pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Aleeya Maisarah Azizzani, 21, yang terselamat dalam kemalangan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli awal pagi tadi, berkata bahawa dia melihat rakan-rakannya meronta-ronta, ada yang tersepit, dan ada yang tiba-tiba senyap. Pada waktu itu, dia sudah tahu mereka tiada lagi.
Aleeya dipetik akhbar Harian Metro bahawa dia masih berjaga ketika kejadian itu berlaku.
Dia menyedari bas yang dinaikinya hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri dan melanggar pembahagi jalan.
Pelajar itu perasan bas seperti tidak stabil ketika memasuki selekoh, sebelum tiba-tiba jatuh ke kiri dan melanggar pembahagi jalan.
Aleeya, yang duduk di belakang, tidak dapat melihat keadaan di hadapan dengan jelas, dan kemudian baru mengetahui bahawa sebuah Perodua Alza biru turut terlibat.
Dia menyifatkan keadaan ketika itu sangat kelam-kabut dan menyedihkan, dengan ramai penumpang mengalami cedera parah dan menjerit meminta tolong.
Bagaimanapun, dia tidak mampu membantu kerana belakangnya sakit teruk, dan dia sendiri mengalami benjolan di kepala serta kaki terseliuh.
Mengimbas detik cemas itu, Aleeya berkata keadaan di dalam bas gelap, tetapi dia masih dapat melihat rakan-rakan yang cedera parah, termasuk yang tersepit dan tidak sedarkan diri.
Dia melihat ada yang terperangkap dan meronta, serta ada yang berada di dalam longkang, tetapi sudah meninggal dunia.
Aleeya, yang masih dalam keadaan trauma berkata, dia mula berasa tidak sedap hati sejak awal lagi, apabila bas termasuk lopak.
Kemalangan bas persiaran yang membawa 44 orang, termasuk 42 pelajar UPSI itu mengorbankan 15 nyawa. Seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian dan dua lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gerik.
-BTS Media