PENYANYI lagu rakyat terkemuka Filipina, Freddie Aguilar, telah meninggal dunia pada usia 72 tahun.
Berita ini disahkan oleh peguam cara bagi Partido Federal ng Pilipinas (PFP) George Briones, kepada akhbar Manila Standard pagi tadi. Allahyarham adalah bekas naib presiden eksekutif kebangsaan parti politik itu.
Beliau, yang meninggalkan seorang balu, Jovie, dan emapt anak, menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 1.30 pagi di Philippine Heart Centre.
Freddie dikenali ramai di peringkat antarabangsa melalui lagu ikoniknya, “Anak”, yang dianggarkan terjual sebanyak 33 juta unit di seluruh dunia dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Selain itu, beliau turut menerima pujian atas persembahan penuh semangatnya untuk lagu protes “Bayan Ko”.
Sebagai penghargaan atas sumbangannya yang besar kepada muzik dan budaya Filipina, Aguilar pernah dilantik sebagai penasihat presiden dalam bidang budaya dan kesenian oleh Presiden Rodrigo Duterte.
Beliau kemudiannya turut berkhidmat sebagai ahli Suruhanjaya Kebangsaan untuk Kebudayaan dan Kesenian (NCCA).
-BTS Media