BTS Media

Pandu 2KM baru sedar anak hilang, rupanya tercicir dari kereta

SEORANG budak lelaki berusia tiga tahun mengalami kecederaan di muka selepas terjatuh keluar dari tingkap belakang sebuah kereta dalam satu kejadian di Kilometer 5, Jalan Lipis-Merapoh, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Bapanya yang berusia 36 tahun telah memberhentikan kereta jenis Proton Saga di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon.

Tanpa menyedari anaknya telah terjatuh, lelaki itu meneruskan pemanduan sejauh kira-kira dua kilometer sebelum menyedari ketiadaan kanak-kanak itu di dalam kenderaan.

Orang awam yang menemui mangsa berseorangan di tepi jalan kemudian membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Padang Tengku, sebelum dia dibawa ke Klinik Kesihatan Padang Tengku untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian berlaku ketika bapa dan anak itu dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Berembang menuju ke sebuah kedai di Kampung Tempoyang.

“Selepas keluar dari kedai, bapanya memberhentikan kereta di tepi jalan untuk menjawab panggilan telefon. Dia kemudian meneruskan perjalanan sebelum menyedari anaknya tiada di dalam kereta kira-kira dua kilometer kemudian,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Supt. Ismail, bapa mangsa telah mencari anaknya di sepanjang jalan sebelum pergi ke Balai Polis Kuala Lipis untuk membuat laporan.

Semasa berada di balai polis, dia dimaklumkan bahawa anaknya telah dijumpai dan sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Padang Tengku.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh melalui tingkap kiri bahagian belakang kenderaan yang dibiarkan terbuka ketika bapanya berhenti untuk menjawab panggilan telefon.

Bapa mangsa kini turut disiasat berhubung insiden tersebut.

-BTS Media

Leave a Comment