PIHAK berkuasa di Kota Baru, Kelantan telah membongkar sindiket yang mengeksploitasi warga Thailand untuk mengemis semasa Ramadan.
Pembongkaran itu mendedahkan rangkaian ejen tempatan mengaut keuntungan daripada sedekah yang diterima oleh pengemis-pengemis tersebut.
Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), dalam operasi bersama “Ops Bersih” mendedahkan bahawa sindiket tersebut membawa masuk warga Thailand menggunakan pas lawatan sosial.
Mereka kemudian ditugaskan untuk mengemis di lokasi-lokasi strategik di sekitar bandar, seperti di depan bank, masjid dan kawasan perumahan.
Operasi itu membabitkan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, dan Jabatan Imigresen.
Ketua bahagian penguatkuasaan MPKB-BRI Mohd Hakimie Md Salleh, berkata sindiket tersebut menggunakan warga emas, wanita, dan kanak-kanak.
Sepanjang “perkhidmatan” mereka pengemis-pengemis itu tinggal di rumah-rumah sewa.
Aktiviti sindiket itu meningkat pada separuh akhir Ramadan , dengan menyasarkan simpati dan kesediaan penduduk tempatan untuk secara rambang menghulurkan sedekah.
“Setiap tahun, mereka datang sebaik sahaja Ramadan bermula, dan aktiviti mereka meningkat pada 15 hari terakhir apabila penduduk tempatan memberi lebih banyak sedekah,” jelas Mohd Hakimie.
Sebahagian besar sedekah yang dikumpul, iaitu kira-kira 70 peratus dikaut oleh ejen, dengan hanya meninggalkan 30 peratus kutipan kepada pengemis.
Sindiket itu menggunakan pelbagai taktik untuk mendapatkan simpati, termasuk cerita rekaan kononnya memerlukan dana untuk pendidikan atau rawatan perubatan anak-anak.
MPKB-BRI telah mengeluarkan amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang mengeksploitasi individu terdedah untuk keuntungan kewangan.
Menurut laporan Bernama, seorang warga Thailand berusia 52 tahun, yang ditahan semasa operasi, mengaku mengumpul antara RM1,000 dan RM1,500 dalam tempoh sepuluh hari terakhir Ramadan, dengan mengemis di masjid-masjid di sekitar Kota Baru.
-BTS Media