TINDAKAN menjadikan Sabah sebagai eksperimen untuk mengadakan kerjasama politik bagi PRN akan datang adalah sesuatu tidak wajar, kata Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Masidi Manjun.
Beliau berkata, ia seolah-olah menjadikan negeri itu seperti ‘tikus makmal’ yang merendahkan maruah rakyatnya.
Katanya, Sabah tidak sepatutnya menjadi bahan ujian untuk mengkaji keberkesanan kerjasama politik antara parti dalam kerajaan perpaduan kerana ia akhirnya akan merugikan negeri itu.
“Dalam keadaan di mana semua parti sedang bersedia untuk menghadapi PRN, timbul pelbagai komen dan satu yang saya lihat serta tergores apabila ada pemimpin kata kita dijadikan makmal politik.
“Ertinya kita ini tidak lebih sebagai bahan politik, seolah-olah kita dilihat tidak penting, hanya dijadikan makmal ujian politik, ini sesuatu yang mengecewakan kita di Sabah.
“Adakah selama ini kita tidak menyumbang kepada kekayaan dan kekuatan sedangkan kekayaan Sabah disumbang kepada negara. Selepas semua ini, adakah kita hanya layak dijadikan bahan ujian politik,” katanya ditemui pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Gagasan Rakyat di Kota Kinabalu, menurut Berita Harian.
Masidi berkata, Sabah pernah dijadikan bahan ujian makmal politik pada 90-an menerusi sistem penggiliran ketua menteri yang menetapkan tempoh perkhidmatan selama dua tahun.
“Tapi saya tidak fikir ia mencapai keputusan yang diinginkan. Tempoh selama dua tahun terlalu pendek bagi seorang ketua menteri kerana masa yang singkat untuk melaksanakan sesuatu perkara,” katanya.
Minggu lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi dilaporkan berkata PRN Sabah ke-17 tahun depan bakal menjadi ‘makmal’ untuk menguji kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Timbalan perdana menteri berkata, PRN Sabah penting untuk menilai persefahaman bagi menghadapi PRU seterusnya.
Sementara itu, Masidi yang juga setiausaha agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpandangan gabungan tersebut dan PH sepatutnya membuat keputusan mengenai parameter kerjasama pada PRN17.
“Ini pandangan peribadi saya tetapi saya rasa ramai pemimpin GRS mempunyai pandangan yang sama. Kita bukan mengkritik, kita bukan anti-Kuala Lumpur, kita hanya mahu orang Sabah dihormati selayaknya.
“Kita bukan lebih-lebih, kerana seperti yang saya katakan, apabila orang Sabah merasa diri dihargai, dia akan menjadi seorang rakyat Malaysia yang bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.